KUALA LUMPUR — Ketua Jurulatih pasukan negara, Ahmad Jais Baharun memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas kegagalan pasukannya meraih kejayaan hatrik pada Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Stadium Titiwangsa, hari ini.
Selepas cemerlang merangkul kejuaraan regu dan beregu buat kali pertama, Rabu lalu, Malaysia meletakkan harapan tinggi untuk merampas gelaran berpasukan, sekali gus mengalahkan musuh tradisi, Thailand dalam acara tersebut (semua kejohanan) selepas 33 tahun.
Bagaimanapun, skuad negara gagal memanfaatkan sokongan padu 2,000 penonton apabila tumbang 1-2 dalam perlawanan akhir.
“Secara peribadi kita lihat beberapa elemen dalam permainan khususnya bagi regu kedua dan ketiga itu antara yang menyebabkan kita gagal untuk memberi saingan kepada pasukan Thailand.
“Kita kena sedar bahawa tiada jalan mudah untuk pemain kita capai prestasi terbaik.
“Selepas ini, kita akan menggandakan lagi usaha untuk memperbaiki prestasi dalam mempersiapkan pasukan bagi kejohanan antarabangsa,” katanya.
Meskipun gagal menamatkan kemarau 13 untuk memenangi gelaran berpasukan Piala Dunia, selain 33 tahun tidak pernah mengalahkan Thailand dalam mana-mana acara berpasukan, namun Ahmad Jais percaya terdapat peningkatan yang ditunjukkan anak-anak buahnya.
“Saya mahukan setiap pemain menggandakan lagi usaha untuk memperkemaskan lagi prestasi masing-masing.
“Ini kerana kita tengok dari segi secara keseluruhannya ada peningkatan, tapi ada elemen yang perlu dikemaskinikan lagi. Kita juga perlu tekankan perkara itu untuk ada peningkatan,” katanya.
Selepas kejohanan ini, skuad negara akan membuat persiapan untuk aksi Piala Raja Thailand yang dijadual berlangsung pada 1 hingga 8 September depan.
“Kita akan duduk berbincang dengan pihak persatuan terlebih dahulu untuk melihat sejauh mana sasaran dalam kejohanan itu.
“Dari situ, keputusan sama ada kita menghantar pasukan utama atau memberi pendedahan kepada pemain muda akan dibuat.
“Cabaran untuk menentang pasukan Thailand memang besar, namun tiada perkara yang mustahil untuk kita lakukan,” katanya.
Ujarnya lagi, selagi ada kesungguhan dan usaha keras setiap pemain, tiada perkara yang mustahil boleh berlaku. – 26 Mei, 2024