Bonnie rangkul emas buat kali ketiga dalam Piala Dunia Powerlifting Para

Ini pingat emas ketiga buat juara Paralimpik Tokyo itu dalam Piala Dunia selepas memenanginya pada dua edisi 2021 masing-masing di Dubai dan Bangkok

Bonnie Bunyau Gustin (tengah) meraih pingat emas dalam kategori 72 kilogram pada Piala Dunia Powerlifting Para di Dubai semalam, mengetepikan Mark Swan dari Great Britain (kiri) dan peserta China, Hu Peng. - Gambar Majlis Paralimpik Malaysia, 2 Mac, 2024

KUALA LUMPUR – Jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin sekali lagi mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa apabila muncul juara Piala Dunia Powerlifting Para 2024 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) semalam.

Juara Paralimpik Tokyo 2020 itu meraih pingat emas bagi kategori 72 kilogram (kg) menerusi angkatan terbaiknya 218kg pada percubaan ketiga, menurut laman sesawang World Para Powerlifting www.paralympic.org/powerlifting.

Pada percubaan pertama, atlet berusia 24 tahun kelahiran Sarawak itu berjaya melakukan angkatan seberat 210kg, diikuti 216kg pada percubaan kedua.

Persaingan antara 11 peserta pada kejohanan berkenaan menyaksikan atlet Great Britain, Mark Swan melakukan angkatan 213kg dan Hu Peng (211kg) dari China masing-masing meraih perak dan gangsa.

Ini merupakan pingat emas ketiga Bonnie dalam kejohanan berprestij itu selepas memenanginya dalam dua edisi pada 2021 masing-masing di Dubai dan Bangkok, Thailand. – 2 Mac, 2024