DOHA – Jordan yang memburu tiket final Piala Asia buat kali pertama telah melakukan persiapan terbaik untuk mengatasi juara dua kali, Korea Selatan dalam separuh akhir malam ini, termasuk jika diheret ke masa tambahan atau penentuan penalti.
Pertembungan di Stadium Ahmad Ali di Al Rayyan adalah ulangan perlawanan Kumpulan E, yang menyaksikan Korea Selatan bangkit dengan jaringan lewat minit untuk mengikat Jordan 2-2.
Skuad Taegeuk Warriors bimbingan Jurgen Klismann memenangi dua perlawanan peringkat kalah mati dengan bertarung sehingga 120 minit permainan, di mana salah satu saingan diputuskan menerusi penentuan penalti.
Ketua Jurulatih Jordan, Hussein Ammouta mengakui, Korea Selatan mempunyai kemahiran beraksi dalam permainan yang panjang serta penalti, namun barisan kejurulatihannya telah mengkaji secara menyeluruh pihak lawan bagi mencari pendekatan terbaik berdepan pasukan nombor 23 dunia itu.
“Setiap orang dalam pertandingan ini sudah bersedia secara mental dan itulah sebabnya kami perlu memberi tumpuan kepada peningkatan aspek taktikal permainan pasukan ini. Kami perlu membuat penambahbaikan ketika bermain pada peringkat ini dan aspek taktikal haruslah teratur dengan baik.
“Membuat keputusan taktikal melibatkan mengelak atau menekan pasukan yang kuat serta memastikan setiap pemain mendapat apa yang sepatutnya. Setiap pasukan memerlukan persiapan rapi, daripada segi mental mahu pun fizikal, untuk bertahan selama 120 minit,” kata jurulatih warga Maghribi berusia 54 tahun itu pada sidang media praperlawanan di sini, malam tadi.
Jordan yang akan membuat penampilan pertama di separuh akhir Piala Asia kehilangan khidmat Ali Olwan dan Salem Al Ajalin dengan kedua-duanya menjalani penggantungan satu perlawanan, namun Ammouta yakin beliau mempunyai kualiti yang cukup bagi mengisi ketiadaan dua pemain tersebut.
Sementara itu, pemain tengah Jordan, Ibrahim Saadeh yang berbangga menjadi sebahagian daripada skuad yang mencipta sejarah mengakui, tekanan menjelang perlawanan itu tetapi yakin pasukannya mampu mencipta kejutan.
“Adalah satu kebanggaan buat kami berjaya melangkah sejauh ini. Ia memberi sedikit tekanan tetapi kami sudah terlatih dan bersedia untuk mara ke final. Ia akan menjadi perlawanan yang sukar. Kakitangan teknikal dan pemain semua bersedia untuk meneruskan kemaraan.
“Jurulatih, penolong jurulatih dan kakitangan teknikal semuanya telah membantu kami mengkaji semula perlawanan sebelum ini dan mengenal pasti kesilapan kami. Sebagai pemain, sudah tentu saya bersedia untuk bermain jika dipilih dan pastinya, saya akan memberikan yang terbaik untuk membantu Jordan mara ke peringkat seterusnya,” kata pemain kelab Al Khor berusia 23 tahun itu.
Jordan, pasukan ranking ke-87 dunia menewaskan juara 2007, Iraq pada pusingan 16 terakhir dan Tajikistan di suku akhir untuk layak ke separuh akhir.
Korea Selatan yang kali terakhir muncul juara pada 1960, menumpaskan juara tiga kali, Arab Saudi pada pusingan 16 menerusi penentuan penalti dan mengatasi juara 2015, Australia yang menyaksikan perlawanan diheret ke masa tambahan. – 6 Februari, 2024