DOHA – Juara dua kali, Korea Selatan melangkah ke suku akhir Piala Asia 2023 apabila mengalahkan juara tiga kali, Arab Saudi 4-2 menerusi penentuan penalti, selepas terikat 1-1 pada pusingan 16 terbaik yang berlanjutan sehingga 120 minit permainan di sini, malam ini (awal pagi waktu Malaysia).
Penjaga gol, Jo Hyeon-woo muncul wira Korea Selatan apabila menafikan dua sepakan penalti Arab Saudi yang diambil oleh Sami Al-Naji dan Abdulrahman Ghareeb, untuk terus menghidupkan cabaran Taegeuk Warriors dalam pemburuan gelaran ketiga mereka.
Dalam aksi di Stadium Education City itu, Arab Saudi yang terkenal dengan julukan Green Falcons terlebih dulu berada di depan menerusi penyerang muda, Abdullah Radif pada minit ke-46, namun ketika permainan hanya menunggu masa untuk ditamatkan, Cho Gue-sung meledak gol penyamaan pada minit ke-99 untuk mengheret permainan ke waktu tambahan.
Korea Selatan turun dengan skuad terkuat apabila Jurgen Klinsmann membariskan nama-nama besar yang beraksi di Eropah, antaranya bintang Tottenham, Son Heung-min, Kim Min-jae (Bayern Munich), Jeong Woo-yeong (VFB Stuttgart) dan Lee Kang-in yang beraksi untuk Paris Saint-Germain.
Begitupun disiplin bertahan tinggi dipamerkan anak-anak buah Roberto Mancini yang kesemuanya beraksi dalam Liga Pro Saudi, menyaksikan lawan buntu mencetak jaringan dengan peluang terbaik pada separuh masa pertama, hadir menerusi percubaan Heung-min yang diselamatkan Ahmed Al-Kassar pada minit ke-26.
Percubaan berbahaya pada babak pertama hadir di hujung permainan, apabila tandukan Saleh Al Shehri berpunca dari sepakan penjuru Mohammed Al Burayk pada minit ke-41, menyaksikan bola tepat ke palang gol sebelum tandukan susulan oleh Ali Lajami turut hanya menggegar palang.
Bersambung babak kedua, percaturan Mancini membawa masuk Radif menggantikan Al Shehri membuahkan hasil, apabila pemain Al Shabab berusia 21 tahun itu tidak menunggu lama untuk membuka jaringan pada minit ke-46, sekali gus menambah tekanan kepada pasukan lawan.
Gol itu terhasil berpunca gerakan dari sebelah kiri, menyaksikan ketua pasukan, Salem Al-Dawsari yang menerima hantaran, membuat tampanan cantik serta mengelirukan untuk Radif menyambar bola, sebelum dengan tenang melepaskan rembatan ke penjuru kanan yang gagal diselamatkan Jo.
Korea Selatan yang tertekan melancarkan serangan bertali arus, menyaksikan lambakan peluang terhidang gagal diterjemahkan kepada jaringan, antaranya sepakan dari jarak dekat Hwang In-Beom pada minit ke-86 yang diselamatkan Al-Kassar menggunakan kaki.
Penjaga gol, Al Fayha,33, sekali lagi mempamer kecekapannya apabila menafikan tandukan Seol Young-woo dari jarak dekat seminit kemudian, sebelum bernasib baik tidak dibolosi apabila tandukan Gue-sung hanya menggegar palang memasuki tiga minit masa tambahan babak kedua.
Begitupun , asakan demi asakan membuahkan hasil buat Korea Selatan apabila berjaya menyamakan kedudukan ketika masa tambahan berbaki seminit, menerusi tandukan Gue-sung berpunca hantaran lintang Young-woo.
Kim terlepas peluang menjaringkan gol ketiga Korea Selatan selepas tandukannya berpunca hantaran lintang Lee diselamatkan Al-Kassar pada minit ke-98, sebelum penjaga gol itu terus menjadi tembok halangan apabila menafikan rembatan deras Lee pada minit ke-115.
Pada masa tambahan melepasi 120 minit permainan menyaksikan Jo menjadi penyelamat Korea Selatan, apabila menepis keluar rembatan Radif untuk mengheret perlawanan ke penentuan penalti.
Mohammed Kanno dan Saud Abdulhamid masing-masing tenang menyempurnakan dua penalti pertama Arab Saudi sebelum tendangan Al-Naji dan Ghareeb yang kedua-duanya menghala ke arah kiri gol bijak dibaca Jo untuk menepis bola keluar.
Son yang juga ketua pasukan Korea Selatan bersama Kim Young-gwon, Cho dan Hwang Hee-chan, masing-masing menyempurnakan tugas dengan baik selepas tidak berdepan masalah menewaskan Al-Kassar di gawang.
Korea Selatan yang merupakan juara dua kali, akan bertemu juara 2015, Australia pada suku akhir di Stadium Al Janoub, Jumaat ini. – 31 Januari, 2024