KUALA LUMPUR — Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah yang juga dikenali sebagai Mike Mahen, memberi bayangan akan bersara daripada arena sukan bina badan.
Bercakap kepada Scoop, Syarul, yang diraikan oleh rakyat Malaysia kerana susuk tubuh dan kejayaan dalam bidang berkenaan, memberi bayangan akan beralih menjadi jurulatih negara bersama Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM).
“Saya belum membuat apa-apa keputusan berkenaan persaraan, tapi saya semakin berusia dan perlu membuat keputusan selepas kejuaraan dunia di Korea Selatan.
“Saya akan terus mengharumkan nama Malaysia jika kudrat mengizinkan, tapi saya akan gembira jika diberikan peluang untuk melatih atlet bina badan negara menjelang Sukan Sea 2025 di Thailand.
“Saya mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang luas dalam sukan ini, dan saya akan berbesar hati jika PBBM memberi peluang kepada saya untuk mendidik lebih ramai lagi atlet demi kebaikan sukan ini di Malaysia,” kata Syarul.
Atlet yang berusia 50 tahun itu menambah amat penting bagi atlet yang berpengalaman sepertinya untuk berkhidmat kepada negara selepas bersara.
“Penting untuk atlet berpengalaman seperti saya untuk terus berkhidmat demi negara kerana ada ramai olahragawan di luar sana yang memerlukan latihan untuk mengekalkan kecergasan dan prestasi mereka.
“Saya lebih suka menyumbang kepada negara daripada bertanyakan apa yang negara boleh sumbangkan kepada saya
“Bukan sahaja dalam sukan bina badan, tapi saya juga terbuka untuk menerima tawaran dari mana-mana persatuan sukan yang memerlukan khidmat untuk melatih atlet mereka dari segi kecergasan dan membina otot.
“Saya amat terbuka untuk berkongsi pengalaman dengan atlet Malaysia bagi membantu mereka lebih yakin dengan susuk tubuh apabila mewakili Malaysia dalam apa sahaja kejohanan,” tambahnya.
Syarul juga memaklumkan beliau telah memerhati beberapa atlet berpotensi dalam sukan bina badan yang boleh meneruskan legasinya.
“Jumlah bakat yang ada dalam sukan bina badan amat ramai dan kebanyakannya telah menunjukkan potensi yang sangat baik.
“Atlet seperti Ahmad Faiz Ariffin telah beraksi dengan baik untuk Malaysia. Dia telah memenangi pingat emas dalam Kejohanan Bina Badan Asia ke-55 di Kathmandu.
“Saya sudah mengenalinya buat sekian lama dan dia mempunyai kebolehan untuk menjadi penganti saya.
“Selain dirinya, kita juga mempunyai bakat seperti Malvern Abdullah dari Sarawak dan Amin Razwan dari Johor. Mereka mempunyai kebolehan untuk membawa negara ke peringkat teratas dalam sukan ini pada tahun-tahun akan datang,” tambahnya.
Syarul baru-baru ini dianugerahkan gelaran Atlet Terbaik pada majlis Anugerah Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2022 minggu lalu.
Beliau juga berjaya merangkul Kejohanan Bina Badan Dunia buat kali kelima di Phuket, Thailand pada Disember lalu dalam kategori fizikal olahraga 167cm ke atas dan mengulangi pencapaian Sazali Samad, ahli bina badan terakhir memenangi anugerah SAM pada 2013.
Pada Sukan SEA Hanoi 2021, Malaysia membawa pulang satu emas menerusi Syarul dalam kategori fizikal olahraga lelaki, bersama tiga perak dan empat gangsa, menduduki tempat ketiga keseluruhan daripada lima negara yang bertanding.
Syarul akan beraksi dalam kejohanan dunia Persekutuan Bina Badan Dan Sukan Fizikal Dunia (WBPF) ke-14 yang dijadualkan berlangsung pada 6-12 November di Gangwon, Korea Selatan. — 9 September 2023