Mawar Rashid tetap enggan kongsi punca perceraian, ‘jika saya jaga aib orang, Allah SWT jaga aib saya’

Tegasnya, tiada pasangan berkahwin untuk bercerai, justeru apabila episod duka itu tetap berlaku, ia mengajarnya banyak perkara

Tidak mahu berkongsi punca perceraiannya dengan bekas suami kerana memegang prinsip jika dia menjaga aib orang, Allah SWT akan menjaga aibnya, pelakon Mawar Rashid mengakui dia dan Raf Yaacoh kini sama-sama menjaga anak mereka secara bergilir-gilir. - Gambar Ellyna Ali, 22 Julai, 2024

KUALA LUMPUR – Biarpun sering diaju apakah punca perceraiannya dengan Raf Yaakob, pelakon Mawar Rashid tetap mengunci mulut daripada mendedahkannya, selain mengakui dia lebih senang tidak berkongsi rahsia itu kepada umum.

Bercakap kepada Scoop, Mawar memberitahu, dia berpegang erat kepada prinsip ‘sekiranya dia menjaga aib orang, Allah SWT akan menjaga aibnya’.

“Kalau saya cakap pasal Raf, saya bimbang ia akan menjadi punca salah faham. Jadi, saya perlu elakkan perkara itu. Lagipun, dia adalah bekas suami saya, ayah kepada anak-anak saya.

“Malah, saya kena hormati perasaan banyak pihak. Selain bekas suami, saya perlu menjaga hati anak-anak serta keluarga.

“Yang penting adalah kita semua bergerak ke hadapan. Bahkan, hubungan saya dengan keluarga mentua masih baik dan okey,” katanya.

Menurut Mawar, dia masih berusaha menyesuaikan diri dengan statusnya sebagai ibu tunggal.

Katanya, tiada siapa berkahwin untuk bercerai, namun dia percaya fasa perceraian dilaluinya kini membuatkannya mempelajari perkara lebih besar.

Sekiranya tidak melalui ujian itu, ujarnya, dia tidak akan memperoleh kekuatan seperti kini.

“Allah SWT sudah susun cantik semuanya. Saya kena buat yang terbaik demi kepentingan anak-anak sebab mereka tidak punya siapa-siapa kecuali ibu dan ayah mereka. Saya sudah lalui macam-macam perkara dalam hidup ini. Saya tidak mahu mereka terkesan sepertimana saya terkesan.

“Setiap manusia ada kekurangan dan kelebihan masing-masing. Jadi, kita fokus pada kebaikan, bertindak secara matang serta buat yang terbaik sahaja,” katanya.

Ditanya tanggungjawab perlu dipikulnya sebagai ibu tunggal, Mawar tidak menafikan cabarannya sangat besar, namun dia cukup mementingkan penjagaan anak bersama-sama (co-parenting).

“Buat masa ini saya akan menjaga anak-anak pada hari biasa dan pada hari minggu, giliran ayah mereka pula menjaga.

“Bagi saya, membesarkan anak-anak dalam suasana sihat serta tidak ada reaksi negatif mereka dengan antara ayah dan ibu, itu paling penting serta menjadi keutamaan.

“Membesarkan anak-anak bukan mudah. Kalau kita rasa benda itu berat, ia akan jadi berat. Jadi, saya akan sentiasa mencari apa sahaja bentuk sokongan diperlukan,” katanya yang bakal membintangi drama bersiri, Bara Jiwa arahan Osman Ali.

Mawar berkata, selain mementingkan hal anak-anak, dia juga sentiasa memberikan fokus terhadap kesihatan dirinya sendiri.

“Kalau saya sihat mental dan fizikal, saya boleh menyediakan keperluan untuk anak-anak. Itu juga penting.

“Kalau keadaan saya negatif, tentu sukar saya bekerja dan mencari rezeki kerana selain berlakon, saya punya bisnes sendiri. Alhamdulillah, saya okay,” katanya yang mengakui sudah melalui fasa sedih.

Mawar dan Raf bernikah pada 9 November 2017 dan bercerai pada November 2023.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga cahaya mata, iaitu Raden Muhammad, Raden Seri Rosabella Cinta dan Raden Seri Riyanna Sayang. – 22 Julai, 2024