Selepas raih kutipan RM10 juta, The Experts tembusi pasaran Kemboja

Filem arahan Andre Chiew dan Nazim Shah itu juga turut dialih suara, ditayangkan di 18 pawagam

Selepas meraih kutipan RM10 juta, filem The Experts yang dibintangi (dari kiri) Remy Ishak, Ray DapDap, Datuk Aaron Aziz, Syafiq Kyle dan Mimi Lana kini berjaya menembusi pasaran filem di Kemboja - Gambar ihsan Astro, 19 Julai, 2024

KUALA LUMPUR – Biarpun tidak berjaya menyaingi kedudukan filem Sheriff: Narko Intergriti dari sudut jumlah kutipan, namun filem aksi heist pertama negara, The Experts mencipta kejayaannya tersendiri.

Selepas meraih kutipan RM10 juta, The Experts terbitan Astro Shaw dengan kerjasama ZAK Capital dan TGV Pictures kini sudah berjaya menembusi pasaran filem di Kemboja dan sedang ditayangkan di 18 pawagam di negara tersebut.

Penerbit Eksekutif The Experts yang juga Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, pihaknya telah bekerjasama dengan pengedar konten terbesar Kemboja iaitu Westec Media Limited (WML) untuk mempersembahkan The Experts di negara tersebut.

“Bahkan, kami juga telah melakukan alih suara The Experts dalam bahasa Kemboja bagi menarik warga penonton di sana untuk menonton filem tempatan ini dan berkongsi pengalaman mereka pula.
 
“Dalam pada itu, memandangkan ‘vibe’ The Experts masih dirasai, jadi kami rasa teruja untuk terus bawakan ke platform Astro First pada bulan depan dan ia dapat dinikmati penonton dengan pengalaman berbeza,” katanya.
 
The Experts, arahan Andre Chiew dan Nazim Shah, kini berada di tangga ke-26 dalam senarai kutipan filem Melayu tempatan tertinggi sepanjang zaman di negara ini serta berkongsi kedudukan dengan filem Dukun arahan Din Said.
 
Ia berjaya mengatasi kedudukan filem Misteri Dilaila arahan Syafiq Yusof yang meraih kutipan RM9.4 juta, namun berada di bawah filem Ombak Rindu arahan Osman Ali (RM10.9 juta).
 
The Experts memaparkan sebuah keluarga iaitu lima beradik yang telah lama meninggalkan kegiatan merompak, kembali berkumpul kerana satu ugutan. Mereka mendapat arahan daripada gangster paling berbahaya untuk melakukan satu lagi rompakan terbesar berisiko tinggi.
 
Dalam pada itu, mereka masih dibayangi dendam lama daripada tragedi keluarga serta sejarah kejahatan lampau. Bagaimana mereka harus berdepan musuh dan melindungi keluarga? Adakah misi rompakan ini akan menjadi kali terakhir untuk lima beradik ini bersama?
 
Filem ini dibintangi Datuk Aaron Aziz, Syafiq Kyle, Remy Ishak, Mimi Lana, Maya Karin, Tony Eusoff, serta Ray Dapdap. – 19 Julai, 2024