Di mana silapnya penggiat teater Melayu gagal tarik penonton berbayar? Adakah ini puncanya…

Isu terbabit sudah sekian lama membenah dalam dunia pementasan teater Melayu, tetapi tiada usaha untuk menaiktaraf tahap seni teater di Malaysia

Penggiat teater dan pelakon, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar dan Amran Amran Nasrudin mengakui kenyataan Siti Rohayah Attan bahawa penggiat teater Melayu rata-ratanya tidak mementingkan aspek pemasaran dan promosi dalam setiap pementasan teater yang mereka terbitkan dan ia menjadi isu yang sudah lama berbenah sejak puluhan tahun. - Gambar Scoop, 18 Julai, 2024

KUALA LUMPUR – Kenyataan produser dan pengarah teater, Siti Rohayah Attan bahawa rata-rata penggiat teater Melayu, tidak mementingkan aspek pemasaran dan promosi dalam setiap pementasan teater diterbitkan mereka, sekali lagi mengundang perhatian ramai.

Bahkan, segelintir penggiat teater di negara ini mengakui hal tersebut adalah isu sudah sekian lama berlaku dalam pementasan teater Melayu.

Namun tiada usaha dilakukan untuk menaiktaraf tahap seni teater di negara ini, bagi menarik minat khalayak masyarakat menonton karya seni itu.

Selama puluhan tahun teater Melayu dipentaskan, hanya beberapa pementasan sahaja yang benar-benar memiliki aspek pemasaran dan promosi lengkap.

Misalnya, Puteri Gunung Ledang, P Ramlee The Musical, Ola Bola The Musical terbitan Puan Sri Tiara Jacquelina, Lantai T Pinkie, Nyonya, Ombak Rindu, Upin Ipin The Musical, Teater Musical Ibu Zain, Muzikal Tun Mahathir (Siti Rohayah Attan), Tun Siti Hasmah, Mak Cun, Bawang Putih Bawang Merah, (Erma Fatima), Impak Maksima: The Musical (Ahmad Idham ) dan Cuci The Musical (Hans Isaac).

Menurut Tarmimi, isu yang dibangkitkan oleh Rohayah sebenarnya sudah lama berlaku dan banyak kali dibincangkan. – Gambar Instagram, 18 Julai, 2024

Bagaimanapun, jika melihat kepada senarai nama penerbit kepada semua pementasan teater berskala besar disebutkan ini, mereka bukan terdiri dalam kalangan penggiat teater tulen dan sejati, termasuklah Siti Rohayah.

Melontarkan pandangannya, penggiat teater dan pelakon, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar berkata, dia bersetuju dengan pandangan dikemukakan Siti Rohayah bahawa penggiat teater Melayu sebenar akan menitikberatkan aspek pemasaran dan promosi dalam sesebuah pementasan teater.

“Ini masalah sudah berlaku sejak azali dan perkara ini pernah saya bincangkan ketika bahagian pembangunan teater zaman kami itu, tidaklah sekaya sekarang.

“Apa yang sering berlaku adalah sang penulis atau sang pengarah hanya datang bawa skrip, tanpa diiringi orang promosi dan pemasaran.

‘Maknanya, perkara ini tidak akan pernah berubah sampai la (sekarang) ini. Berbeza dengan penggiat teater bukan Melayu. Mereka datang dengan pasukan penuh,” katanya.

Sementara itu, penggiat teater dan pelakon, Amran Nasrudin pula berkata, memang tidak banyak penggiat teater Melayu di negara ini yang mementingkan aspek pemasaran serta promosi.

Amran berkata, walaupun ada di antara penggiat seni itu menghadiri kursus dan seminar Pengurusan Pemasaran, mereka masih tak mampu mendapatkan penonton berbayar. – Gambar Instagram, 18 Julai, 2024

“Walaupun ada di antara mereka ini menghadiri kursus dan seminar Pengurusan Pemasaran, mereka masih tak mampu mendapatkan penonton berbayar. Di mana silapnya sedangkan mereka ini selalu mengatakan mereka punya ‘contact’ dan ada nama untuk mendapatkan penaja besar.

“Akan tetapi berbalik kepada naskah dan pelakon teater itu sendiri, yang nak dijual sudah pasti nama selebriti besar. Jadi bayaran untuk selebriti, pastilah besar. Ini membuatkan pengurusan NGO teater tidak mampu melakukannya, melainkan mendapat dana atau geran yang boleh menampung produksi teater itu sendiri,” katanya.

Amran turut menyarankan agar orang teater mementaskan sesebuah teater mengikut keselesaan serta kemampuan mereka, tanpa mempertikaikan produksi itu mempunyai kemampuan kewangan berjuta atau sebaliknya.

“Sebab teater ni untuk orang teater. Jadi, teruskan terapi diri kita dengan berkarya. Saya suka pinjam kata-kata Datuk Fauziah Nawi ‘Siapa buat dia dapat. Jika kita buat lebih, kita dapat lebih, kita promosi lebih, kita dapat penonton lebih,” katanya. – 18 Julai, 2024