Dajjal papar kisah pemuja syaitan, ‘saya mahu hasilkan filem benar-benar seram dan ganas’: Pierre Andre

Biarpun tajuknya adalah Dajjal, ia langsung tidak memfokuskan mengenai ‘makhluk’ yang bermatlamat menyesatkan manusia, sebaliknya mengisahkan kegiatan segelintir kelompok pemuja syaitan berkepala kambing

Bukan mengenai ‘makhluk’ yang akan menyesatkan manusia sepertimana yang dimaksudkan di dalam kitab Al-Quran, sebaliknya pengarah filem Pierre Andre cuba mengangkat sifat Dajjal dalam kalangan pemuja syaitan dalam filem arahan terbaharunya, Dajjal: Satu Malam Di PeDajjal. - Gambar MIG, 12 Julai, 2024

KUALA LUMPUR – Pengarah filem Pierre Andre berhasrat menghasilkan karya fiksyen benar-benar seram dan ganas menerusi filem terbaharu arahannya, Dajjal: Satu Malam Di PeDajjal yang bakal menjalani penggambaran di Bukit Fraser pada 16 Julai ini.

Bercakap kepada Scoop, Pierre berkata, biarpun tajuknya adalah Dajjal, ia langsung tidak memfokuskan mengenai ‘makhluk’ yang bermatlamat menyesatkan manusia seperti dinyatakan dalam Al-Quran.

Katanya, sebaliknya, ia mengisahkan kegiatan segelintir kelompok pemuja syaitan berkepala kambing yang melakukan ritual untuk mempercepat proses kemunculan Dajjal.

“Kalau kita cuba memahami erti perkataan Dajjal itu sendiri di dalam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, ia memang bermaksud individu, tetapi ia turut mempunyai makna lain, iaitu sifat seseorang (sifat dajjal itu sendiri).

“Jadi, apa cuba saya gambarkan adalah sifat Dajjal pada kumpulan pemuja syaitan ini yang mahu menghidupkan kekuasaan Dajjal. Ia memang mengarahkan ke situ dan saya cuba gambarkan dengan sehampir mungkin.

“Saya tidak berani menghasilkan filem yang benar-benar mengenai Dajjal kerana ia sangat berat bagi saya dan jika saya ingin melakukannya, ia memerlukan kajian lebih khusus berdasarkan Al-Quran dan Hadis,” katanya.

Menurut Pierre, jika dibandingkan dengan filem seram atau supernatural lain yang pernah dihasilkannya, karya kali ini paling banyak menggunakan efek darah serta cara pembunuhan paling kejam.

“Bahkan, saya cuba gambarkan suasana tempat pembunuhan itu sendiri yang cukup menyeramkan seperti mana kita tonton dalam filem Seven.

“Sebetulnya, saya mengambil pengaruh filem Evil Dead untuk hasilkan filem Dajjal ini dan disebabkan itu, ia tidak sesuai diletakkan dalam klasifikasi tayangan umum. Ia mungkin lebih sesuai untuk tayangan bagi 16 (tahun) ke atas,” katanya.

Pierre tidak menyangka diberi lampu hijau untuk mengarahkan filem Dajjal oleh Metrowealth International Group, biarpun filem arahan terdahulunya, Jangan Pandang Belakang 2: Aku Tahu Asal Usulmu masih belum ditayangkan di pawagam. – Gambar MIG, 12 Julai, 2024

Jelas Pierre, dia tidak menyangka dirinya diberi lampu hijau untuk mengarahkan filem Dajjal oleh Metrowealth International Group (MIG), biarpun filem arahan terdahulunya, Jangan Pandang Belakang 2: Aku Tahu Asal Usulmu masih belum ditayangkan di pawagam.

“Saya gementar sebenarnya dengan sambutan bakal diberikan kepada Jangan Pandang Belakang 2, tetapi saya gembira kerana memperoleh ‘look and feel’ seperti filem Joko Anwar biarpun naskahnya bukan saya tulis.

“Tapi, dalam filem Dajjal, saya boleh berkreatif dengan lebih lagi melalui konten dan visual sebagai pengarah.

“Melalui filem ini juga, saya ingin beritahu orang ramai supaya kita jangan alpa, memandangkan memang ada kelompok yang teruja dengan perkara seperti pemujaan syaitan dan mahu Dajjal muncul secepatnya,” katanya.

Pierre juga menyatakan, filem Dajjal dihasilkan dalam bentuk trilogi dan dibarisi pelakon seperti Amir Nafis, Bidin Alzaifa, Khatijah Tan, Dai Syed, Jaja Iliyes, Hanna Halim, Faa Zaini serta Jay Iswazir. – 12 Julai, 2024