Big Band Orkestra RTM martabat komoditi budaya, angkat citra muzik Malaysia ke persada antarabangsa

Program enam episod itu akan menampilkan pelbagai lagu Melayu bermacam rentak yang diiringi persembahan orkestra

Orkestra RTM pimpinan Datuk Mokhzani Ismail bakal tampil bersama artis-artis ternama tanah air seperti Liza Hanim, Aina Abdul dan Aisha Retno dalam program Big Band Orkestra RTM - Gambar Instagram Orkestra RTM, 4 Julai, 2024

KUALA LUMPUR – Penjenamaan semula Orkestra RTM bukan sahaja dilakukan untuk memartabatkan semula keunggulan orkestra muzik tertua di Malaysia, malah bagi mengubah kedudukannya sebagai komoditi budaya dalam mengangkat citra muzik negara ke persada dunia.

Apatah lagi, Orkestra RTM yang mula ditubuhkan pada 3 Jun 1961, sekian lama menjadi pemangkin kepada perkembangan industri muzik tempatan apabila melahirkan ramai komposer serta pemuzik profesional, selain banyak mengiringi persembahan artis tersohor tanah air dan luar negara.

Atas sebab itu, sebuah program berjudul Big Band Orkestra RTM pimpinan Datuk Mokhzani Ismail yang menampilkan barisan penyanyi hebat baharu dan lama tanah air, bakal bersiaran di RTM Klik pada 30 Julai ini.

Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Datuk Suhaimi Sulaiman ketika ditemui Scoop berkata, insitiaf untuk mengadakan program hiburan dalam bahasa Inggeris itu, dicetuskan sebagai usaha mengeksport kandungan muzik Malaysia ke pasaran global.

“Kalau Austria mampu eksport Vienna Boys Choir dan Jepun pula dengan Kabuki yang menjadi kebanggaan mereka, kenapa kita tidak boleh lakukan perkara sama dengan Orkestra RTM. Sejak saya kecil saya sudah menyaksikan Orkestra RTM dan ia sebuah orkestra hebat.

“Melalui program ini, kita akan ketengahkan lagu Melayu kita yang bermacam-macam rentak, tapi dihasilkan dalam bentuk orkestra.

Big Band Orkestra RTM bakal disiarkan dalam bahasa Inggeris sebagai usaha mengeksport kandungan muzik Malaysia ke pasaran global. Ia diacarakan oleh Datuk Suhaimi Sulaiman (kiri) sendiri dan turut menampilkan Sean Ghazi (kanan) – Gambar X Suhaimi Sulaiman, 4 Julai, 2024

“Ini adalah satu daripada cara yang bagus untuk kita mengeksport kandungan muzik kita. Sebab itu, ia dikendalikan dalam bahasa Inggeris kerana sasarannya memang untuk pasaran antarabangsa dan saya sendiri akan bertindak sebagai pengacara,” katanya.

Menurut Suhaimi, pemilihan barisan artis tanah air yang terlibat di dalam program itu juga dipilih berdasarkan bakat, kredibiliti dan kehebatan mereka.

“Misalnya, kita ada Liza Aziz dan Salamiah Hassan. Mereka memang sudah terbukti antara penyanyi hebat tanah air yang kita ada.

“Untuk memenuhi selera generasi muda pula, kita tampilkan artis muda seperti Aina Abdul dan Aishah Retno,” katanya.

Jelas Suhaimi, program seperti Big Band Orkestra RTM adalah antara usaha dilakukan untuk mengubah semula ‘proposition’ dan penjenamaan RTM dalam melahirkan kandungan berkualiti.

“Sewaktu saya bersama TV3, Astro, Bernama dan TV Sarawak, saya selalu memberitahu mereka bahawa RTM adalah sebuah gergasi yang sedang tidur.

“Tetapi kalau suatu hari nanti, mereka bangun dan menyedari kekuatan mereka ada, tidak mustahil yang lain akan kena ‘libas’ dengan mereka.

“Kerana mereka memiliki segalanya. Mereka punya banyak kekuatan (dari sudut teknologi), banyak sumber (khazanah), kebijaksaan, pengalaman dan sejarah yang panjang,” katanya.

Selain Liza Aziz, Salamiah Hassan, Aina Abdul serta Aisha Retno, program Big Band Orkestra RTM yang dihasilkan enam episod serta bersiaran satu jam ini, menampilkan penyanyi seperti Jaclyn Victor, Sean Ghazi, Ida Mariana, Sharizan Borhan, Dayang Nurfaizah, Farhan, Roy dan Ernie Zakri. – 4 Julai, 2024