KUALA LUMPUR – Genre yang kurang diminati serta kesilapan dari sudut percaturan strategi pemasaran digital antara penyebab filem Abnormal Buas arahan Allahyarham Azhari Zain gagal mendapat sambutan peminat filem tempatan.
Bercakap kepada Scoop, Eksekutif Produser Abnormal Buas, Shahriman Wahap berkata, filem itu mengetengahkan genre aksi thriller dan kebiasaannya genre sebegini memang belum dapat diterima masyarakat penonton secara meluas.
“Hasilnya, Abnormal Buas kurang mendapat sambutan yang begitu baik seperti mana filem-filem tempatan lain di pawagam.
“Bagaimanapun kita menerima ketentuan ini kerana sudah dapat menjangkakan penerimaan penonton terhadap filem ini. Kita memang sudah sedia menerima risikonya awal lagi.
“Apa yang penting, kita sudah dapat merealisasikan impian untuk menghasilkan sebuah genre filem yang berbeza dengan apa yang pernah ada di pasaran,” katanya.
Menurut Shahriman, kesilapan daripada sudut percaturan strategi pemasaran juga menyebabkan promosi filem ini gagal menjadi tular di platform media sosial khususnya TikTok.
“Kami bergantung sepenuhnya dengan pemasaran digital untuk mempromosikan filem ini. Akan tetapi, kami terlupa dan terlepas pandang bahawa TikTok mempunyai regulasi tertentu yang mana babak keterlaluan serta perkataan seperti ‘buas’ dan ‘ganas’ tidak boleh digunakan.
“Disebabkan itu, beberapa sedutan promosi filem ini gagal dapat sambutan di TikTok, bahkan turut disekat selepas beberapa kali perkongsian. Kami akur dengan kesilapan ini dan ia pasti akan menjadi proses pembelajaran yang berguna di masa akan datang,” katanya.
Biarpun begitu Shariman mengakui, pihaknya tidak akan patah semangat untuk terus menghasilkan filem-filem baharu.
Malah mereka juga akan tetap menerbitkan dua lagi filem Abnormal Buas iaitu prekuel dan sekuelnya untuk melengkapkan trilogi filem ini, apatah lagi ia sudahpun diadaptasi ke dalam bentuk novel.
“Perancangan untuk menerbitkan dua lagi filem Abnormal Buas ini akan tetap diteruskan sebab adakalanya sesuatu filem itu mungkin belum boleh diterima pada masa sekarang.
“Tetapi, akan datang, baru ia boleh diterima iaitu setelah trilogi siap sepenuhnya. Sebab, masyarakat kita sudah diajar dengan budaya untuk tidak bersabar. Mereka tidak boleh menunggu untuk menghayati sebuiah filem yang berfikir, cerita yang sulit atau menonton filem yang slow burner.
“Bukan salah mereka juga kerana itulah budaya TikTok sekarang ini. Hanya swipe sekali mereka sudah boleh mendapat banyak kandungan cerita atau informasi,” katanya.
Mengulas mengenai status tayangan Abnormal Buas yang diklasifikasi 16 di pawagam ketika ini, Shariman berkata, ketika mula ditayangkan secara rasmi pada 22 Jun lalu, ia ditayangkan sebanyak 70 pawagam.
“Selepas seminggu, jumlah tayangan berkurang daripada 70 kepada 20 pawagam. Mungkin ada juga yang menunggu gaji keluar untuk menonton filem ini. Jadi, kami harap dalam waktu ini, ada peningkatan terhadap kutipan filem Abnormal Buas,” katanya. – 2 Julai, 2024