KUALA LUMPUR – Penyanyi Korea yang bergelar Ratu Runut Bunyi (OST), Ailee memohon maaf kepada peminat setianya di Malaysia kerana mengambil masa selama 11 tahun untuk kembali mengadakan persembahan di sini.
Ailee pertama kali datang ke Malaysia untuk menjayakan Anugerah Golden Disk pada 2013 dan malam tadi, dia kembali untuk menjayakan konsert solonya, Ailee – I Am: Here yang berlangsung di Megastar Arena Bukit Bintang.
Menurut Ailee, dia sudah lama mempunyai keinginan untuk kembali menghiburkan peminat di Malaysia tetapi tidak pernah berpeluang untuk berbuat demikian.
“Saya mendapat sokongan daripada peminat di sini tetapi ia mengambil masa yang lama untuk kembali ke Malaysia. Saya mohon maaf di atas kelewatan tersebut.
“Tapi, sekarang ini saya sudah ada di sini dan teruja dapat mengadakan konsert solo serta berharap dapat mencipta memori manis bersama peminat,” katanya pada sidang media Konsert Ailee – I Am: Here, lewat malam tadi.
Ailee bagaimanapun terkejut apabila mengetahui ramai artis antarabangsa telah menggugurkan Malaysia daripada senarai lokasi konsert jelajah mereka.
“Saya tidak tahu kenapa mereka berbuat demikian. Mungkin mereka tidak tahu betapa Malaysia ini menakjubkan. Jika mereka tahu, saya pasti mereka akan mengadakan konsert di negara ini.
“Sejak ketibaan di lapangan terbang sehinggalah dibawa ke hotel, saya menerima layanan yang cukup baik sekali.
“Bahkan jubah mandi saya memiliki logo khas dan banyak makanan ringan disediakan. Saya juga dijamu dengan nasi goreng dan sate yang mana kuah kacangnya memiliki rasa yang hebat.
“Layanan yang saya terima di Malaysia sama seperti di Korea dan saya rasa seperti seperti berada di negara sendiri. Saya bersyukur dan gembira berada di sini. Malah, saya boleh tinggal di sini,” katanya sambil tertawa.
Ditanya mengapa dia gemar membawakan lagu OST untuk drama atau filem Korea, Ailee berkata, melalui lagu OST dia dapat menyampaikan cerita di dalam lagu dan muziknya.
“Tidak semua lagu OST adalah lagu saya dan tidak semua lagu adalah mengenai diri saya. Menyanyi juga seperti berlakon.
“Saya perlu berlakon untuk membawakan watak yang berada di dalam cerita tersebut dan cuba untuk menyampaikan emosi dengan sebaik mungkin. Dengan naratif cerita, skrip dan menonton babak tertentu, saya seolah-olah menonton babak tersebut ketika merakamkan lagu,’’ katanya.
Ailee mengakui lagu debutnya, Heaven adalah lagu yang memberikan makna buat dirinya dan tanpa lagu itu, dia mungkin tidak berada di kedudukan sekarang.
Memiliki dua album studio, Ailee mempunyai lebih 10 lagu OST yang hits termasuk ‘I Will Go To You Like The First Snow’ yang digubah dan dinyanyikannya untuk Kdrama popular, Guardian: The Lonely and Great God. – 23 Jun, 2024