KUALA LUMPUR – Penyanyi, pemuzik dan komposer, Amir Jahari mengakui terkejut apabila namanya terpalit dengan isu polemik melibatkan Datuk Seri Siti Nurhaliza di media sosial oleh penyokong tegar kepada penyanyi tersohor berkenaan.
Hanya disebabkan perdebatan penyokong tegar Siti dengan bekas pengurusnya, Joe Lee serta ciapan umumnya yang mengingatkan orang ramai agar tidak mengidolakan dirinya selaku artis, dia turut menerima tempias kecaman yang sama.
Bercakap kepada Scoop, Amir berkata, ketika namanya terpalit di dalam kancah perdebatan tersebut, dia sebetulnya sedang bercuti dengan keluarga dan terkejut apabila melihat namanya beberapa kali dipetik oleh peminat tegar Siti.
“Sebetulnya saya jenis yang tidak ambil tahu tentang hal-hal sebegini. Bukan isu berkaitan artis sahaja tetapi juga isu politik dan sebagainya yang tidak pernah habis. Saya tidak mahu masuk campur hal orang kerana saya perlu menjaga kesihatan mental daripada perkara yang tidak perlu. Alhamdulillah saya okey.
“Saya hanya fokus dengan apa yang saya lakukan. Selepas menyuntik mesej penting dalam lagu Hasrat, saya dan pasukan perkenalkan pula reben Palestin melalui kerjasama dengan Cheapreme di mana sebahagian penjualan disalurkan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Palestin. Ia dilakukan mengikut kemampuan diri saya,” katanya.
Mengenai hujatan peminat Siti yang memperlekeh dirinya, Amir berkata, dia sudah lali menerima cacian yang sebegitu dan tidak lagi mempedulikannya.
“Cuma saya terkejut kerana ciapan saya yang tiada kena-mengena pun turut terkena tempiasnya. Apa yang saya tulis adalah ingatan untuk diri saya sendiri sebab selepas menang Anugerah Juara Lagu 38 (AJL38), orang sudah mula kenal saya.
“Walaupun saya tidaklah popular mana, tapi makin banyak DM (direct message) yang mahu menjadikan saya idola mereka kerana mampu bangkit semula daripada gangguan mental, dijemput sana sini untuk membuat perkongsian serta menjadikan saya ikon kesihatan mental.
“Ada pula yang idolakan Amir sebab dari dulu busking lepas tu ke pentas AJL38, ada yang nak mula buat muzik. Macam-macam. Tapi realitinya, hidup tak seindah apa yang orang lihat,” katanya.
Kata Amir, respons pelbagai yang diterimanya itu mendatangkan kerisauan kerana bimbang dia akan lupa diri dan tersasar daripada landasan sebenar.
“Saya risau. Setiap perjalanan kita berbeza. Saya tak nak orang terlampau ‘look up’ dengan seorang manusia, apa lagi diri saya. Risau kerana takut saya lupa diri. Sebab itu awal-awal lagi saya ingatkan, idolakan Rasulullah SAW.
“Saya sebetulnya risau dengan budaya mengidolakan artis ini sebab saya ada anak. Saya tidak mahu anak-anak saya terlalu fanatik dengan artis. Itu juga pesan yang saya mahu titipkan kepada penyokong saya.
“Saya manusia biasa yang akan buat silap juga. Jadi, saya pun perlu ingatkan diri saya. Tapi sayangnya, apa yang Amir post, disalah tafsir dan dikatakan menyindir. Walhal, saya amat menghormati TokTi (Siti). Bahkan saya juga peminatnya,” katanya yang sedang dalam proses menyiapkan album baharunya yang akan muncul Julai nanti. – 19 Jun, 2024