Gara-gara pertahan Siti Nurhaliza, Sitizoners digelar ‘Sitizioners’, berat sebelah

Polemik ini semakin memburuk apabila nama penyanyi, Aina Abdul dan Amir Jahari terpalit sama

Polemik antara penyokong tegar Datuk Seri Siti Nurhaliza dengan penyokong anti-zionis di platform X, masih berterusan hingga ke saat ini gara-gara penyanyi wanita itu terbabit dalam konsert David Foster. - Gambar media sosial, 18 Jun, 2024

KUALA LUMPUR – Isu penglibatan penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza pada konsert Hitman Returns-David Foster and Friends di Jakarta pada malam Sabtu lalu, terus mencetuskan polemik antara penyokong tegarnya dengan penyokong anti-zionis di platform X.

Sebahagian penyokong anti-zionis menganggap Siti tidak peka atau tidak sensitif dengan isu peperangan Israel dan Palestin yang masih bergejolak di negara Islam berkenaan, apabila masih terlibat dengan konsert David Foster terbabit, sedangkan penggubah lagu dan penyanyi terkenal asal Kanada itu, menyokong kuat rejim berkenaan.

Pertubuhan Boycott, Divestment and Sanctions (BDS) Malaysia dalam kenyataan media menyatakan, David Foster sering terbabit dalam usaha menyumbang dana kepada tentera rejim Zionis pada acara dianjurkan Friends of Israel Defence Forces (FIDF).

Cuba mempertahankan Siti, sebahagian peminat tegarnya mengingatkan penyokong anti-zionis bahawa penyanyi nombor satu negara itu, cukup lantang bersuara mengenai isu Palestin dan hampir setiap hari memperjuang nasib penduduk negara berkenaan, malah sering membantu menyalurkan bantuan dana kepada pihak di sana serta membina sekolah.

Mereka juga mengemukakan hujah bahawa Siti dibayar untuk menjayakan konsert berkenaan dan pastinya hasil bayaran diterima itu nanti, akan disalurkan ke Palestin semula, justeru mempersoalkan bagaimana penglibatan penyanyi wanita itu dikatakan menyokong Israel?

Tidak hanya itu, mereka menyatakan penglibatan penyanyi kesayangan mereka di dalam konsert berkenaan, bukanlah dirancang sebaliknya ia usaha Siti membantu pihak penganjur menggantikan tempat penyanyi antarabangsa, Jessie J yang tiba-tiba menghilangkan diri tanpa dikesan pada saat akhir konsert berlangsung.

Hujah dikemukakan peminat tegar Siti itu bagaimanapun, tidak dapat diterima penyokong anti-zionis di negara ini yang berpendapat, golongan terbabit ‘bias’ mengenai isu memboikot produk, jenama atau perkara melibatkan Israel.

Menurut penyokong anti-zionis, walaupun Siti hanya menerima bayaran serta dana itu tidak disalurkan kepada Israel, dia tidak seharusnya melibatkan diri dengan apa sahaja yang mempunyai kaitan dengan Israel dan isu berkenaan, ia merujuk kepada David Foster.

Berhubung usaha Siti menggantikan Jessie J, mereka berpendapat, ia sepatutnya dilihat sebagai jalan lebih mudah bagi Siti untuk menolak daripada melibatkan diri dalam konsert terbabit.

Gara-gara masih cuba mempertahankan Siti, penyokong anti-zionis turut menggubah gelaran ‘Sitizoners’ yang menggabungkan nama Siti dan zionis kerana mereka membenarkan tindakan penyanyi itu.

Polemik ini juga dilihat memburuk apabila nama penyanyi, Aina Abdul dan Amir Jahari terpalit sama.

Apa dikesalkan, polemik ini tercetus pada hari konsert itu hampir berlangsung, iaitu saat sebahagian umat Islam yang mengerjakan haji di Tanah Suci Makkah sedang mengerjakan wukuf, membawa kepada puasa sunat Arafah (esoknya), hingga ketika Aidialdha (Isnin).

Bahkan, polemik itu juga masih berterusan hingga saat ini apabila penyokong anti-zionis dan peminat tegar Siti, balas-membalas kenyataan sehingga nama Siti masih kekal trending di platform X. – 18 Jun, 2024