Gara-gara David Foster, nama Siti Nurhaliza trending ganti Jessie J saat akhir

Menurut penganjur, pemilihan Siti Nurhaliza itu adalah usaha terbaik yang dapat mereka lakukan demi mencari pengganti Jessie J yang menarik diri pada saat terakhir

Penglibatan Datuk Seri Siti Nurhaliza dalam konsert dalam konsert ‘Hitman Returns – David Foster and Friends’ di Jakarta menerima kecaman hebat daripada warganet - Gambar Scoop, 15 Jun, 2024

KUALA LUMPUR – Pemilihan Datuk Seri Siti Nurhaliza dalam konsert Hitman Returns – David Foster and Friends yang sedang berlangsung di Jakarta ketika ini dilakukan susulan tindakan penyanyi antarabangsa, Jessie J yang menarik diri pada saat-saat akhir.

Perkara itu dijelaskan pihak penganjur, Color Asia Live menerusi sebuah video yang dikongsi di TikTok sebelum ini.

Jurucakap Color Asia Live memberitahu, pihaknya tidak dapat tidur selama tiga hari tiga malam kerana memikirkan penyanyi sesuai untuk menggantikan Jessie J pada konsert itu.

“Saya tidak dapat tidur dan suami pula tidur jam 3 atau 4 pagi kerana berusaha untuk mencari penggantinya agar anda semua tidak kecewa.

“Kami cuba cari artis dari Amerika Syarikat (AS) mahupun United Kingdom (UK) untuk menggantikannya tetapi tidak mampu kerana kesibukan mereka.

“Sampai akhirnya kami kemudian menghubungi Siti Nurhaiza. Siti Nurhaliza seorang yang ikonik. Lagipun, Siti Nurhaliza jarang datang ke Indonesia,” katanya.

Menurutnya lagi, pemilihan Siti Nurhaliza itu adalah usaha terbaik yang dapat mereka lakukan demi mencari pengganti Jessie J.

“Kami harap anda semua mengerti dengan usaha yang kami lakukan demi menyelamatkan Jessie J di konsert ini. Ini yang terbaik, yang dapat kami lakukan,” katanya.

Susulan itu, penglibatan Siti Nurhaliza dalam konsert berkenaan menerima kecaman hebat daripada warganet gara-gara David Foster, penggubah lagu dan penyanyi terkenal asal Kanada, adalah penyokong kuat rejim Zionis.

BDS Malaysia dalam kenyataannya menyifatkan keputusan Siti Nurhaliza untuk mengadakan persembahan di Jakarta, Indonesia, malam ini sebagai sangat mengecewakan.

Manakala, penulis terkemuka, Faisal Tehrani pula dalam ciapannya di platform X berharap Siti Nurhaliza menarik diri daripada terlibat dalam konsert berkenaan demi solidariti kepada penduduk Palestin.

Sejak itu, nama Siti Nurhaliza menjadi trending dan menduduki tangga pertama di platform X dan segelintir penyokongnya dilihat cuba mempertahankan penglibatan penyanyi tersohor itu dalam konsert berkenaan. – 15 Jun, 2024