Khidmat Ustaz Don dalam Salam Baitullah di TV1 ditamatkan serta-merta

Tindakan itu dilakukan berikutan sebuah hadis yang disebutkan pendakwah selebriti itu pada episod program Salam Baitullah yang bersiaran, malam tadi

Ekoran pertikaian terbaharu yang timbul, Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman (kanan) mengambil keputusan menamatkan terus khidmat Ustaz Don Daniyal Don Bajiyad sebagai pengacara program Salam Baitullah terbitan RTM di TV1. - Gambar kombo, 14 Jun, 2024


PUTRAJAYA – Hanya seminggu selepas kembali mengacarakan program Salam Baitullah terbitan RTM di TV1, pendakwah terkenal, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid atau Ustaz Don ditamatkan tugas selepas mencetuskan kontroversi terbaharu, malam tadi.

Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman ketika ditemui Scoop berkata, pihaknya sebelum ini mengambil risiko dengan memberi peluang kepada Ustaz Don untuk muncul semula dalam program tersebut, malangnya, ia tidak digunakan dengan sebaiknya.

Sambil meluahkan kekecewaan, Suhaimi berkata, dalam program Salam Baitullah, Ustaz Don adalah pengacara atau moderator, bukan sebagai ahli untuk menjawab atau mengupas hadis.

“Lagipun ini bukan rancangan agama (dalam konteks hukum) sebaliknya hanya rancangan yang memaparkan mengenai jemaah haji di Makkah. Itu sahaja.

“Apabila timbul masalah (sebelum ini), kita terpaksa merujuk perkara itu kepada pihak berkuasa dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) membantu mengadakan pertemuan dengan pihak-pihak yang pakar dalam bab agama dan kita seterusnya memberikan peluang kepadanya,’’ katanya.

Beliau ditemui pada majlis Sidang Media Pencalonan Anugerah Seri Angkasa 2024 di Kementerian Komunikasi di sini, hari ini.

Isu itu menjadi kontroversi apabila Ustaz Don didakwa membuat ungkapan mengenai kelebihan memandang wajah ulama.

Ia mengakibatkan ramai yang mempertikaikan kesahihan hadis berkenaan dan meminta beliau menunjukkan bukti hadis yang sahih mengenainya.

Pada 5 Jun lalu, RTM ‘merehatkan’ Ustaz Don daripada program Salam Baitullah selepas dikritik susulan dakwaannya berkaitan kehidupan Nabi Muhammad SAW.

Suhaimi dalam pada itu berkata, Ustaz Don ada memohon maaf kepadanya selepas beliau menghubungi penceramah itu pagi ini.

“Saya juga marah dia (Ustaz Don) pagi ini dalam perbualan di WhatsApp. Saya tanya kenapa buat macam ni kerana orang akan cuba mencari kesalahannya dan dia membenarkan perkara itu berlaku.

“Ustaz Don mohon maaf tetapi ini bukan soal minta maaf kerana dalam dunia penyiaran, kita perlu tahu bagaimana untuk berkelakuan yang sepatutnya dan harus memiliki kebijaksaan serta disiplin tertentu ketika bersiaran langsung.

“Jika anda gagal memahami perkara-perkara ini…minta maaflah. Kita terpaksa menggugurkan anda dan walaupun program Salam Baitullah ini berbaki lagi empat, penonton tidak akan melihatnya lagi sebagai pengacara atau moderator,” katanya.

Salam Baitullah adalah rancangan RTM yang bersiaran setiap kali musim haji menemui penonton bermula 2 hingga 17 Jun ini.

Tahun ini, 17 episod program Salam Baitullah disiarkan secara langsung di saluran TV1, Saluran Berita – 123 MyTV juga RTMKlik selama sejam 30 minit mulai jam 9 hingga 10.30 malam. – 14 Jun, 2024