Saya hampir ‘terberanak’, Wawa Zainal kongsi pengalaman berlakon Abnormal: Buas ketika sarat mengandung

Pada awalnya Wawa menolak tawaran itu tetapi diyakinkan Allahyarham Azhari Zain untuk bawa watak Hani

Pelakon yang kini bergelar usahawan, Wawa Zainal mendedahkan dia sedang sarat mengandung anak keempatnya, Jibril Ibtisam sewaktu menjayakan penggambaran filem Abnormal: Buas kira-kira tiga tahun yang lalu dan bersyukur tidak mengalami kecederaan sekalipn berdepan dengan babak dipukul dan ditendang. - Gambar PR, 13 Jun, 2024

KUALA LUMPUR – Sarat mengandung ketika menjayakan penggambaran filem Abnormal: Buas kira-kira tiga tahun lalu, pelakon yang kini bergelar usahawan, Wawa Zainal mengakui dia bersedia menghadapi apa jua kemungkinan termasuk jika ditakdirkan terberanak di lokasi.

Bercakap kepada Scoop, Wawa berkata, ketika menjayakan penggambaran filem arahan terakhir Allahyarham Azhari Zain itu, kandungannya sudah cukup bulan dan dia boleh melahirkan anak keempatnya, Jibril Ibtisam pada bila-bila masa.

“Ikutkan, saya memang tak nak buat filem ini. Sebab saya risau saya terberanak di set lokasi, tapi arwah Azhari Zain atau Abang Zek yakinkan yang saya boleh buat.

“Kebetulan pada waktu itu, memang mereka tak dapat cari pelakon yang boleh bawa watak Hani, jadi saya pun terimalah.

“Mujurlah saya dapat habiskan semua babak watak saya dan seminggu selepas itu barulah saya melahirkan Jibril Ibtisam yang sekarang dah berusia tiga tahun,” katanya.

Jelas Wawa lagi, andai ditakdirkan dia benar-benar terberanak di lokasi, dia juga sudah bersedia pada waktu itu.

“Saya juga sudah bincang dengan Aeril, kalau ia berlaku, saya akan lahirkan anak dulu dan selepas lima  hari saya akan sambung shooting (penggambaran) semula dan gunakan ‘bantal khas’ untuk menampakkan saya benar-benar sarat mengandung,” katanya.

Mengulas keadaan dirinya apabila perlu berdepan dengan babak dipukul serta ditendang dalam filem itu, Wawa berkata, dia bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Alhamdulillah, saya tak cedera. Tapi, sakit-sakit perut itu memang ada dan rasa penat pun ada sebab kita shooting (penggambaran) setiap hari sampai jam 7 pagi.

“Tapi, saya pun mahu buktikan saya ini perempuan yang kuat dan saya memang sedia berdepan apa jua risiko. Alhamdulillah, Allah SWT izinkan.

“Itu juga antara sebab mengapa saya terima lamaran berlakon filem ini. Kalau saya tolak, nanti suami cakap saya lemah pula. Saya tak mahu orang pandang saya lemah,”katanya.

Wawa juga mengakui filem itu turut membuatkan dia kurang senang dengan sikap Aeril ketika mereka pulang ke rumah.

“Sememangnya saya pun dah tak ingat sangat dengan  sikapnya yang kurang menyenangkan itu sebab filem ini dihasilkan tiga tahun lepas.

“Tapi, ya Aeril memang ada terbawa-bawa dengan watak moodynya itu di rumah,” katanya.

Wawa mengakui, filem ini menyebabkan dia kurang senang dengan sikap Aeril Zafrel ketika mereka pulang ke rumah kerana suaminya terbawa-bawa dengan watak moodynya itu. – Gambar Instagram, 13 Jun, 2024

Selain berlakon bersama suaminya dalam Abnormal: Buas yang merupakan filem terbitan mereka bersama di bawah syarikat produksi, Respected Citizen, Wawa juga bergandingan dengan anak keduanya, Hayla Maghfiratul Adzkiyaa.

“Anak-beranak pula yang berlakon dalam filem inikan? Tapi, selain Hayla, Jibril pun sebenarnya berlakon sama biarpun di dalam kandungan,” katanya dalam nada berseloroh.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perasaanya berlakon bersama ibu dan bapanya, Hayla berkata, perasannya bercampur baur.

“Happy (gembira) tapi masa ayah jerit kat Hayla (waktu penggambaran salah satu babak), Hayla rasa sedih sikit,” katanya.

Selain Aeril, Wawa dan Hayla, Abnormal: Buas dibintangi Shaheizy Sam, Nabila Huda, Adlin Aman Ramlie dan Emelda Rosmila, Wawa Zainal, Johan As’ari dan Kodi Rasheed.

Ia turut menghimpunkan pelakon legenda seperti Ahmad Yatim, Datuk Rahim Razali, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar serta Jalil Hamid.

Filem Abnormal Buas yang berklasifikasi 16 dan bakal ditayangnya secara rasmi di pawagam Malaysia pada 22 Jun ini mengisahkan manusia yang bersifat ‘kebinatangan’ setelah mereka terlepas daripada belenggu kemanusiaan. – 13 Jun, 2024