‘Kalian selalu ada di hati kami’, kumpulan Cokelat gembira kembali bikin konsert di Malaysia

Kumpulan rock asal Bandung itu bakal menjayakan konsert di Zepp Kuala Lumpur pada 22 Jun ini

Selepas 14 tahun, kumpulan Cokelat mengakui mereka teruja untuk kembali membuat konsert di Malaysia. - Gambar PR, 13 Jun, 2024

KUALA LUMPUR – Selepas 14 tahun dan kembali menyatu sempena Hari Kemerdekaan Indonesia pada tanggal 17 Ogos 2022, kumpulan Cokelat bakal bertandang semula ke Malaysia untuk menjayakan konsert di Zepp Kuala Lumpur pada 7 September ini.

Mewakili Cokelat, vokalis utamanya, Kikan mengakui, amat teruja untuk kembali ke Malaysia yang sudah disifatkan sebagai rumah kedua mereka.

“Seperti semua tahu, kali terakhir Cokelat membuat persembahan di Malaysia adalah pada 14 tahun yang lepas. Memang sudah cukup lama.

“Justeru kami berharap persembahan ini dapat mengubat rindu peminat setia kami di konsert ini nanti. Terima kasih atas semua bentuk sokongan yang telah kalian berikan kepada kami hampir 28 tahun berkarya.

“Segala liku-liku perjuangan bermuzik yang kami lewati, baik dahulu saat bersama, lalu kemudian kami berpecah hingga akhirnya bersatu kembali pada 2022, kalian selalu ada di hati kami,” katanya.

Cokelat-2
Seperti band rock British, Queen yang pernah kehilangan Freddie Mercury untuk seketika waktu, band muzik rock asal Bandung, Cokelat juga pernah kehilangan vokalis utamanya, Kikan (tengah) selama 12 tahun. – Gambar PR, 13 Jun, 2024

Seperti band rock British, Queen yang pernah kehilangan Freddie Mercury untuk seketika waktu, band muzik rock asal Bandung, Cokelat juga pernah kehilangan vokalis utamanya, Kikan selama 12 tahun.

Namun berbeza dengan Queen, Cokelat tidak hanya kehilangan Kikan tetapi juga mengalami banyak pertukaran dan keluar masuk ahli kerana bermacam hal dalaman sepanjang kerjaya muzik mereka yang dibina awal 1996.

Akhirnya Kikan dan pemain dram, Ervin kembali menyatu semula dengan Edwin (gitaris), Ernest (gitaris) dan Ronny (basist) untuk membentuk formasi Cokelat dengan vibes lebih baharu pada 2022.

Alasan yang diberikan Kikan sewaktu pengundurannya daripada Cokelat sebelum ini adalah kerana kesukarannya membahagikan jadual di antara kerjaya muzik dan nyanyian bersama Cokelat dengan kehidupannya sebagai ibu yang ketika itu sibuk membesarkan anak-anak.

Sementara itu Pengarah Tanjak Global Services, Rosden Rahmat selaku penganjur konsert berkata, persembahan itu adalah kejutan dan hadiah buat peminat Cokelat.

Menurut penganjur konsert, persembahan itu adalah kejutan dan hadiah buat peminat Cokelat kerana ahli kumpulan band dari Bandung itu amat rapat dengan Malaysia. – Gambar PR, 13 Jun, 2024

“Ahli kumpulan Cokelat juga secara peribadi sangat rapat dengan Malaysia dan teruja untuk bekerjasama lagi dengan kami di masa akan datang. Malah kami sudah berbincang untuk bekerjasama dalam beberapa perancangan dan program yang sudah disusun,” katanya.

Cokelat yang diiktiraf sebagai antara salah satu band muzik terbaik di Indonesia memiliki deretan album dan lagu hits yang sentiasa segar dalam ingatan peminat.

Antaranya adalah Karma, Segitiga, Luka Lama, Ku Pilih Dia, Pergi serta Jauh.

Tiket dijual dari harga serendah RM189 sehingga RM380 dan boleh didapati melalui https://tanjak_cokelat.ubertickets.asia.  – 13 Jun, 2024