Dituduh cemarkan imej Ustaz Kazim, Mawi jawab ia hanyalah tuntutan watak dalam Zim Zim Ala Kazim

Pendakwah serta penceramah bebas yang mempunyai ramai pengikut itu dilihat turut menjayakan babak menyanyi dan menari dalam filem yang bakal ditayangkan secara rasmi di seluruh pawagam tempatan pada 13 Jun ini

Menyangkal dakwaan dia mencemarkan imej Datuk Ustaz Kazim Elias dengan babak menyanyi, menari dan bermain saksofon, Mawi menjelaskan, ia hanyalah tuntutan watak dalam filem Zim Zim Ala Kazim. - Gambar FB Finas Malaysia, 10 Jun, 2024

KUALA LUMPUR – Penyanyi bergelar pengarah filem dan penyampai radio, Asmawi Ani bersikap terbuka dengan kritikan segelintir pihak kononnya dia telah mencemarkan imej Datuk Ustaz Kazim Elias yang menjadi teraju utama dalam filem terbaharu arahan dan terbitannnya, Zim Zim Ala Kazim.

Namun pada masa yang sama, Asmawi atau Mawi menyangkal dakwaan tersebut dan menyatakan bahawa ia hanyalah tuntutan watak di dalam filem dan telah dipersetujui Kazim hasil perbincangan bersama.

Kritikan tersebut dilemparkan apabila pendakwah serta penceramah bebas yang mempunyai ramai pengikut itu dilihat turut menjayakan babak menyanyi dan menari dalam filem yang bakal ditayangkan secara rasmi di seluruh pawagam tempatan pada 13 Jun ini.

Mengulas isu ini kepada Scoop, Mawi berkata, Kazim juga seorang manusia biasa yang menjalani kehidupan seharian dan itu yang cuba dipaparkan dalam filem ini.

“Kalau nak tengok Ustaz Kazim yang berceramah, itu sudah biasa. Tapi, dalam filem ini, kita dapat tengok macam mana dia bercakap dengan isteri dan kawan-kawan, macam mana perasaan dia bila nampak hantu atau benda-benda yang aneh sewaktu disihir atau berdepan dengan bomoh-bomoh penipu.

“Hobi Ustaz Kazim pula memang menyanyi. Sebab itulah saya rekod tiga lagu untuk dia di dalam filem ini iaitu Bila Rumi Menyanyi yang dipopularkan Datuk M Nasir; Jangan Tinggal Daku (Tan Sri P Ramlee) serta Jumpa Mesra (S Jibeng). Kebetulan, lagu Jangan Tinggal Daku dan Jumpa Mesra, memang lagu-lagu kegemaran dia.

“Memang ramai yang terkejut juga bila tengok Ustaz Kazim main saksofon dan menari dalam filem ini, tapi kalau kita hanya mahu tampilkan Ustaz Kazim yang berceramah sahaja, maka akan terbantutlah karya filem ini,” katanya.

Menurut Mawi, sebelum membuat filem ini lagi, dia sudah maklum dengan risiko yang bakal diterimanya itu apabila memaparkan Ustaz Kazim dengan babak-babak tersebut.

“Sudah hampir 20 tahun saya berada di dalam industi ini, saya dah faham bahawa setiap apa yang kita lakukan pasti akan ada pro dan kontranya.

“Mesti ada orang yang suka dan mesti ada orang yang tak suka. Kalau kita buat bagus macam mana pun, tetap sahaja akan ada orang yang tak suka. Dakwah bagus macam mana pun, pasti ada yang tidak boleh terima,” katanya.

Peminat dapat melihat sisi berbeza daripada Ustaz Kazim dalam filem arahan Mawi yang diinspirasikan daripada pengalaman sebenar pendakwah terkenal itu. – Gambar FB Finas Malaysia, 10 Jun, 2024

Mengakui gementar dengan penerimaan penonton terhadap filem ketiga arahan dan terbitannya itu, Mawi berharap masyarakat tidak akan meletakkan harapan yang terlalu tinggi terhadap filem ini dari sudut kualiti pembikinannya.

“Macam saya cakap sebelum ini, filem ini asalnya adalah format supertele untuk platform OTT. Pembikinannya pula dilakukan dalam tempoh 15 hari.

“Jadi, saya harap, penonton yang datang hanya enjoy dengan apa yang hendak disampaikan dalam filem ini. Saya juga harap, anak-anak yang tak pernah bawa mak ayah tengok filem, silalah bawa mereka tonton filem ini, pasti mereka akan happy,” katanya.

Mawi juga menyatakan andai filem ini mendapat sambutan baik, dia tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama lagi dengan Ustaz Kazim, tetapi dengan  menghasilkan filem serius yang mempunyai nilai senimatik sebenar.

Selain Ustaz Kazim, Zim Zim Ala Kazim turut dibintangi Bell Ngasri, Anas Tahir, Shanthesh Kumar, Elvina Chua, Mawi, Syanie Hashim, Zarina Anjoulie, Iqram Dinzly, Tosnah Johari serta Mawi sendiri. – 10 Jun, 2024