Jumlah pemberian dana filem kenegaraan harus dinilai semula, namun Vanidah terkilan ada produksi ambil kesempatan

Menurut Vanidah, apabila karyawan filem pitch sesuatu cerita, mereka bukan sahaja kena pastikan cerita itu bagus tetapi hasilnya yang keluar nanti juga benar-benar bagus

Pelakon yang kini bergelar ahli akademik, Vanidah Imran berharap kerajaan dapat menilai semula pemberian jumlah dana untuk genre filem kenegaraan dan pada masa sama berharap pihak produksi dapat menghasilkan filem yang benar-benar bagus. - Gambar Instagram Vanidah Imran, 9 Jun, 2024

KUALA LUMPUR – Biarpun pembikin filem tempatan mampu menghasilkan filem kenegaraan dengan dana yang kecil seperti Pagari Bulan, namun pelakon yang kini bergelar ahli akademik, Vanidah Imran berharap kerajaan akan dapat menilai semula pemberian jumlah dana untuk genre filem sebegini.

Mengulas mengenai isu ini dalam Majlis Apresiasi Filem Pagari Bulan (Filem Kita, Wajah Kita: Garapan Sejarah Dari Lensa Kreatif), Vanidah berkata, dana kenegaraan yang tidak mencukupi adalah salah satu daripada masalah dalam industri perfileman yang masih tidak ada penyelesaiannya.

“Kalau orang Hollywood tengok filem Pagari Bulan, pasti mereka akan tepuk dahi dan pengsan agaknya bila tahu kita buat filem macam ini dengan dananya hanya sebanyak RM2.1 juta sahaja kerana pasti mereka tidak pernah berhadapan dengan situasi ini.

“Bagi mereka dana itu tak cukup. Tapi, kita sudah buktikan kita boleh buat dan banyak lagi filem-filem sebelum ini dengan dana sekecil itu yang kita boleh buat. Tapi, itu tidak bermakna kita tetap diberikan dana sebanyak itu.

“Saya setuju dengan kenyataan Datuk Afdlin Shauki. Untuk filem kenegaraan, kita kena tengoklah premisnya atau isunya apa. Daripada skrip, kita tahu ceritanya bagaimana dan apa yang diperlukan, wardrobe yang digunakan serta set pembikinannya bagaimana dan berapa lama masa yang diperlukan membuat filem tersebut,” katanya lagi.

Vanidah bagaimanapun berkata, dia juga terkilan apabila ada pihak produksi yang mengambil kesempatan mendapatkan dana filem daripada Perbadanan kemajuan Filem Nasional (Finas), namun tidak membuat filem dengan bersungguh-sungguh.

“Hasilnya mengecewakan dan ia juga menjadi filem yang sia-sia. Saya pernah ditawarkan oleh sebuah produksi untuk sebuah watak, tapi apabila saya baca ceritanya, hati saya tidak terbawa untuk melakonkannya.

“Saya tahu kalau saya letak harga yang tinggi mereka akan terima tetapi sebagai pelakon saya juga punya integriti. Sebab bila kita bawa sesuatu watak dalam sesebuah filem, kita turut menyampaikan sesebuah mesej.

“Tapi, saya tertanya juga, bagaimana syarikat produksi sebegini boleh mendapat dana dan ternyata selama ini, apabila mereka membuat pitching daripada Finas, mereka hanya pitching untuk sinopsis tetapi tiada siapa yang memantau skripnya. Itu yang banyak terjadi,” katanya.

Jelas Vanidah lagi, pembikinan filem di Malaysia beruntung kerana Finas mempunyai dana dan geran yang tidak perlu dipulangkan.

“Hal ini berbeza dengan negara-negara luar. Apabila saya menghadiri beberapa festival filem di luar, banyak pembikin filem di sana yang hadir dengan harapan untuk mendapatkan dana bagi projek filem mereka.

“Sebab, negara mereka tidak menyediakan dana seperti mana Malaysia. Tapi, di negara kita, bila ada dana disediakan, ada syarikat produksi yang cuba ambil kesempatan ini.

“Bila ada pitch sesuatu cerita, anda bukan sahaja kena pastikan cerita itu bagus tetapi hasilnya yang keluar nanti juga benar-benar bagus,” katanya lagi. – 9 Jun, 2024