KUALA LUMPUR – Penerbit filem tersohor, Datuk Yusof Haslam sedia mempertimbangkan permintaan peminat yang mahukan kemunculan istimewa pelakon legenda Hong Kong, Eric Tsang dalam filem Sheriff 2 nanti.
Yusof ketika ditemui Scoop berkata, jika peminat beranggapan kemunculan Eric Tsang mampu menjadikan filem Sheriff 2 lebih menarik, mengapa tidak?
“Saya sedia pertimbangkan tapi saya percaya Eric Tsang sekadar bergurau bila dia beritahu ingin berlakon dalam filem Sheriff 2. Tapi, adakalanya sesuatu gurauan itu mampu menjadi kenyataan.
“Namun, Eric sendiri memang ambil perhatian mengenai perkembangan Skop Production dan dia mengetahui kita banyak melahirkan filem-filem yang sukses.
“Buat masa ini, Syafiq sedang sibuk mengarah filem Blood Brothers bersama Abhilash Chandra disusuli filem Game Of Life dan hanya boleh mengarahkan filem Sheriff 2 selepas raya tahun depan,” katanya yang memberikan gambaran akan wujudnya kesinambungan filem Sheriff nanti.
Yusof menjawab pertanyaan mengenai Eric Tsang susulan daripada ciapan dan hantaran yang dimuatnaik Syafiq mengenai pertemuannya dengan pelakon legenda Hong Kong itu pada malam tayangan perdana Sheriff di Hong Kong pada 6 Jun lalu.
Pada tarikh itu juga, Sheriff secara rasmi mula ditayangkan di 40 pawagam di Hong Kong di bawah edaran pihak Warner Bros di sana dan menariknya ia berjaya senarai Top 5 di sana.
“Untuk tayangan di Hong Kong, kita telah diberikan tayangan Sheriff sebanyak 40 pawagam dan kita juga terkejut apabila Sheriff ia juga sudah mula masuk dalam senarai filem Top 5.
“Bagi saya ia satu perkembangan yang cukup baik dan saya juga positif filem ini lebih diterima dan mendapat tempat di sana.
“Sebabnya, Hong Kong sebelum ini sudah banyak menghasilkan filem-filem bergenre aksi dan mereka lebih terdedah dengan genre-genre filem sebegitu,” katanya.
Mengenai tayangan Sheriff di 100 pawagan Indonesia yang ditarik balik selepas empat hari, Yusof berkata, dia meletakkan kesalahan di pihaknya kerana melakukan promosi dalam tempoh seminggu sebelum filem itu ditayangkan.
“Berbeza dengan filem Munafik 2. Tempoh promosinya dilakukan selama sebulan dan perlu dingatkan sebelum kita buat kempen pasal Munafik 2, filem ini sudah mengumpul pengikutnya sejak Munafik lagi. Sebab itu kita dapat buat kutipan sebanyak RM5 juta di sana,” katanya. – 8 Jun, 2024