KUALA LUMPUR – Biarpun Pagari Bulan gagal meraih kutipan memberangsangkan di seluruh pawagam tempatan pada tahun lalu, namun filem bergenre drama sejarah itu dilihat lebih diterima di festival filem antarabangsa.
Buktinya, Pagari Bulan yang mengisahkan mengenai penculikan wanita tempatan oleh tentera Jepun untuk dijadikan wanita penghibur dan pemuas nafsu diangkat sebagai Filem Terbaik di Festival Filem Asia pada November lalu.
Pengarahnya, Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin berkata, kemenangan Pagari Bulan di festival filem tersebut memberikan suatu impak yang positif buat dirinya serta isteri, Sharifah Shahora yang bertindak selaku penerbit untuk mereka bernafas semula.
“Apa yang penting, kejayaan Pagari Bulan ini adalah suatu lonjakan buat negara, apatah lagi bila Pagari Bulan dihasilkan menggunakan Dana Penerbitan Filem Kenegaraan (Dekan) bernilai RM2.5 juta.
“Selepas Festival Filem Asia, Pagari Bulan akan terus menjelajah ke 12 festival filem antarabangsa yang lain. Antaranya di Greece, Sepanyol, Hong Kong, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
“Sepanjang siri jelajah ini, kita tidak dapat menayangkan Pagari Bulan di beberapa platform lain termasuk TV dan OTT kerana apabila kita sedang melalui proses menghantar filem ke festival-festival, syaratnya sudah ditetapkan begitu,” katanya.
Biarpun meriah kemenangan yang bermakna itu, namun Raja Mukhriz mengakui, dia tidak dapat berkongsi pengalaman mengenai sambutan peminat filem terhadap Pagari Bulan di festival tersebut.
“Sebabnya, saya dan Shahora sendiri tidak menghadiri festival tersebut. Kita hanya hantar sahaja filem itu bertanding dan tahu-tahu, ia menang selepas dimaklumkan pihak penganjur.
“Namun, Pagari Bulan bersaing dengan banyak filem negara-negara lain dan ada juga di antara pembikin filem yang menghantar filem mereka bertanding ini yang sudah punya nama walaupun tidaklah sebesar mana,” katanya.
Mengenai tayangan Pagari Bulan di TV serta platform OTT pula, Raja Mukhriz memaklumkan filem itu hanya akan dapat dinikmati peminat Malaysia pada Oktober nanti.
“Saya juga ingin maklumkan bahawa Skop Productions juga sudah memegang distribusi Pagari Bulan selama 10 tahun. Ia satu perkembangan yang cukup menggembirakan,” katanya.
Mengenai usahanya mengenengahkan Pagari Bulan dalam majlis apresiasi filem yang diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini, Raja Mukhriz berkata, mesej mengenai ‘comfort women’ dan ‘women empowerement’ yang cuba diangkat di dalam filem ini mendorongnya untuk berbuat demikian.
“Saya mahu orang berdiskusi dan mengadakan perbincangan mengenai kedua-dua aspek isu itu.
“Kebetulan saya sendiri sedang melanjutkan pengajian di peringkat sarjana di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), UKM. Jadi, ia sebuah projek yang dilakukan dengan sokongan pelajar-pelajar serta pihak pensyarah dan Dekan sendiri,” katanya.
Majlis Apresiasi Filem Pagari Bulan (Filem Kita, Wajah Kita: Garapan Sejarah Dari Lensa Kreatif) yang mendapat sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) menampilkan Datuk Afdlin Shauki, Vanidah Imran, Thaaqib Mohamed dan Dr Hasrul Hashim sebagai panel manakala Sudirman Mohd Tahir bertindak sebagai moderator. – 3 Jun, 2024