KUALA LUMPUR — Produser filem Memoir Sebuah Guru, Datuk Arisz Ab. Rahman mendedahkan pihaknya mengambil masa selama dua hingga tiga bulan untuk mencari waris sasterawan negara, Allahyarham Azizi Abdullah sebelum mendapat keizinan mengangkat novel itu ke dalam bentuk filem.
Arisz ketika ditemui Scoop berkata, usaha mencari waris Azizi yang juga seorang guru dan penerima Anugerah Penulis SEA 1998 mewakili Malaysia itu terpaksa dilakukan selepas kontrak novel terbitannya bersama Karangkraf sudah berakhir.
“Selalunya kalau kita hendak menggunakan karya terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang melibatkan sasterawan negara, harganya memang agak mahal.
“Tapi, saya bernasib baik kerana selepas novel ini habis kontrak, karya ini telah dipegang oleh anaknya, Anita di Kulim, Kedah dan kami menyatakan hasrat untuk menerbitkan novel itu ke dalam bentuk filem dan turut ditunjukkan kamar tidur Allahyarham oleh anaknya,’’ katanya ketika ditemui pada malam gala dan tayangan perdana Memoir Seorang Guru.
Beliau turut memberitahu, pihaknya telah membuat perjanjian bertulis mengenai langkah mengangkat novel itu ke filem dan ia turut melibatkan sejumlah bayaran.
“Bayaran memang ada dibuat beserta dengan surat dan saya rasa tiada masalah dari segi undang-undang berkenaan hak kebenaran mengangkat novel itu ke filem kerana ceritanya sudah diserahkan kepada kita.
“Kita ada hantar trailer filem ini dan tunjuk pada Anita dan dia menangis. Sepatutnya dia hadir pada malam tayangan perdana Memoir Seorang Guru namun mungkin beliau ada halangan untuk hadir,’’ katanya.
Jelas Arisz lagi, dia mempunyai sebab tersendiri memilih untuk mengangkat karya itu ke bentuk filem.
“Waktu saya buat filem Duan Nago Bogho yang ditayangkan pada tahun lepas, saya ibarat menghidangkan nasi kerabu kepada seluruh rakyat Malaysia. Sebab filem itu dilabel sebagai filem Kelantan. Hasilnya ia hanya dapat sambutan di kawasan negeri Pantai Timur sahaja seperti Pahang, Terengganu dan Kelantan.
“Jadi, saya perlu cari resepi untuk hidangkan filem yang boleh ditonton segenap kaum dan lapisan masyarakat. Bagi saya Memoir Seorang Guru adalah naskhah yang memenuhi apa yang saya cari kerana kita semua pernah jadi pelajar dan mempunyai guru.
“Ia juga mempunyai nilai pemasaran untuk tarik orang ke panggung yang mana ketika ini kita ada lebih kurang 400,000 orang guru dan 2 juta pelajar. Lagipun tak banyak filem seperti ini yang dihasilkan di pasaran” katanya.
Mendapat kerjasama Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) untuk menerbitkan filem, Arisz percaya karya sastera mampu mendapat tempat dan menambat hati penonton Malaysia.
“Hal ini dibuktikan waktu saya terbitkan drama bersiri Ramadan, Korban Kasih karya penulis sastera, Fatimah Saidin untuk RTM. Ia menjadi trending dan mengatasi drama-drama dari stesen TV lain.
“Zil Production juga pernah terbitkan drama Ayahanda yang diangkat dari novel Azizi Abdullah. Ia juga mendapat sambutan dan pernah memenangi drama terbaik di Anugerah Telenovela.
“Itu yang menambahkan keyakinan saya menerbitkan filem Memoir Seorang Guru ini, apatah lagi ia belum pernah diangkat dalam mana-mana drama mahu pun filem,” katanya.
Memoir Seorang Guru arahan pertama Kyoll Hamzah dibintangi Nabila Huda, Johan As’ari, Trisha Ooi, Ellie Suriary Omar, Zul Huzaimy, Jesse Lim, Hariz Hamdan, Kiky Hannah, Danish Zamri, Baqir Jamalullail, Hafiy Al Tamis, Dhiya Raidah serta Rafique Iskandar.
Filem yang menampilkan Datuk Rosyam Nor sebagai teraju utama dengan watak Cikgu Sunan yang ditugaskan mengajar di sebuah sekolah di pedalaman dan menjadi guru di kelas paling corot ini bakal ditayangkan di seluruh pawagam Malaysia pada 30 Mei 2024. – 21 Mei, 2024