KUALA LUMPUR – Penyanyi yang juga penyampai radio, Dina Nadzir mengakui gangguan kemurungan sederhana (mild depression) dialaminya sejak kebelakangan ini menyebabkan dia mengambil keputusan menurunkan berat badan, memotong rambut serta mengubah penampilan diri.
Bercakap kepada Scoop, Dina berkata, dia sendiri tidak mengetahui dan tidak memahami punca dia berdepan dengan gangguan tersebut.
“Sedangkan saya mempunyai pekerjaan yang stabil, masih ada show dan masih ada job untuk buat kerja-kerja pengacaraan.
“Tapi, gangguan depresi ini membuatkan saya sentiasa rasa penat, selalu menangis, tidak mempunyai daya untuk berbuat apa-apa serta berasa tidak semangat untuk meneruskan hidup pada keesokan harinya.
“Bahkan, saya juga tidak boleh mendengar lagu-lagu yang sedih kerana ia membuatkan saya menjadi lebih murung,” katanya.
Menurut Dina, dia bagaimanapun telah mendapat nasihat seorang individu yang ditemui di sebuah hospital sewaktu menziarahi rakan yang terlantar sakit.
“Dia menyarankan untuk saya cuba mengubah gaya hidup. Saya terfikir, mengapa tidak saya cuba. Saya berusaha turunkan berat badan sehingga hampir 10 kilogram, potong rambut jadi pendek dan tukar penampilan untuk jadi lebih menarik.
“Sedikit sebanyak apa yang saya lakukan ini membuahkan hasil. Saya tidak kata kemurungan saya itu sudah tiada atau sudah pulih, tetapi saya hampir dalam proses untuk keluar daripada kemurungan itu.
“Antara perkara lain yang saya lakukan untuk menangani kemurungan ini adalah sentiasa berbual dan meluahkan perasaan dengan rakan yang dipercayai, pergi bercuti serta mendengar lagu Imaji yang dinyanyikan Aina Abdul.
“Lagu Aina itu telah menyelamatkan hidup saya. Ia ibarat lagu anthem saya yang mampu membakar semangat saya sehingga saya boleh mendengarnya sebanyak lima hingga enam kali sehari. Aina juga mengetahui hal ini kerana saya pernah menyatakan rasa terima kasih saya kepadanya disebabkan lagu itu,” katanya.
Mengenai lagu rayanya bersama Expose iaitu Beraya Di Rumah Dinda yang masih tular, Dina berkata, dia sendiri tidak menyangka lagu itu akan menjadi trending sehingga saat ini.
“Sebetulnya lagu itu hanyalah sekadar projek khas yang dilakukan secara tidak serius. Tapi, ia masih lagi tular sehingga kini.
“Apa yang boleh saya katakan, ia menyedarkan diri bahawa saya masih mempunyai nilai sebagai seorang penyanyi dan beri keyakinan buat saya untuk muncul dengan single solo terbaharu,” katanya.
Menyentuh tentang single solo terbaharunya, Dina berkata, dia bakal muncul dengan sebuah lagu tema untuk drama siri di platform OTT. – 19 Mei, 2024