Gerakan #Blockout2024: Seniman gesa artis tersenarai diboikot buat laporan polis

Kita juga tidak mahu ada kes artis pula yang disimbah asid seperti berlaku dalam kes pemain bola sepak: Zed Zaidi

Presiden Seniman, Rozaidi Abdul Jamil atau Zed Zaidi berkata, tindakan pihak yang menyenaraikan nama artis tertentu supaya diboikot dibimbangi hanya meningkatkan kebencian yang boleh mengundang perkara tidak baik - Gambar Bernama, 16 Mei, 2024

KUALA LUMPUR – Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) menggesa artis dan selebriti Malaysia yang terkesan dalam senarai diboikot menerusi kempen #Blockout2024 di media sosial supaya membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

Presiden Seniman, Rozaidi Abdul Jamil atau Zed Zaidi berkata, tindakan pihak yang menyenaraikan nama artis tertentu supaya diboikot dibimbangi hanya meningkatkan kebencian yang boleh mengundang perkara tidak baik.

“Sebab kita tak nak bila diboikot ini mereka rasa diri terancam dan bimbang soal keselamatan mereka, kita juga tidak mahu ada kes artis pula yang disimbah asid seperti berlaku dalam kes pemain bola sepak.

“Sebab perkara seperti ini boleh berlaku, kadangkala kita terlalu cepat buat kesimpulan, hanya kerana seseorang artis itu tidak tunjuk atau kerap memuat naik hantaran sokongan kepada Palestin di media sosial, kita ‘pukul rata’ kata artis ini tidak sokong Palestin.

“Takkanlah setiap artis tu perlu maklum setiap kali dia beri sumbangan atau beri sokongan, dia perlu uar-uarkannya setiap masa di media sosial, ada yang memilih untuk tidak menonjolkan diri mereka,” katanya ketika dihubungi Scoop hari ini.

Rozaidi berkata, rata-rata artis di Malaysia sememangnya menyokong Palestin dan mengecam tindakan rejim Zionis Israel.

“Tapi jangan kita fikir jika mereka tidak memuat naik hantaran menyokong Palestin, mereka ini menyokong Israel.

“Tidak boleh macam itu, kadang-kadang media sosial mereka ini digunakan untuk ‘cari makan’, jangan sebab tidak kena ‘tekak’ kamu, artis ini diboikot,” katanya.

Beliau berkata, tindakan memboikot produk atau makanan yang pro-Israel adalah wajar sebagai seorang Muslim namun tidak perlu sehingga menyasarkan artis tempatan yang bukannya mendapat pendapatan jutaan dolar seperti artis antarabangsa.

“Apabila rakyat Malaysia boikot produk-produk yang ada kaitan dengan pro-Israel dan Amerika Syarikat, memang ada kesan boikot itu di negara ini.

“Namun boikot itu melarat dengan sasaran artis-artis hanya kerana boikot ini sudah menjadi satu trend di Malaysia.

“Kita kena faham dari sudut artis ini, apabila berlaku seperti ini, kalau artis itu terikat sebagai duta jenama tertentu, mereka perlu membayar denda jika membatalkan kontrak, sanggupkah pihak yang boikot ini membayarnya?

“Jadi peminat artis tempatan ini kena fikirlah, orang yang cetuskan kempen itu di Malaysia ini, adakah niat dia betul-betul nak bawa mesej sokongan untuk Palestin atau kepentingan dirinya. Mungkin dia nak dapat pengikut, mungkin dia nak orang kenal dia melalui kontroversi yang diciptanya,” katanya.

Terdahulu, sebuah gerakan untuk menghentikan sokongan terhadap hampir 100 selebriti terkenal dunia, iaitu #Blockout2024 dilancarkan selepas berakhirnya acara pertunjukan fesyen tahunan, Met Gala pada 6 Mei lalu. 

Gerakan #Blockout2024 menyasarkan golongan selebriti yang terus memilih untuk berdiam, selain tidak menggunakan pengaruh mereka untuk menghentikan keganasan dilakukan Israel ke atas Palestin.

Gerakan #Blockout2024 juga nampaknya turut menular di Malaysia sehingga ada segelintir netizen yang giat berkempen untuk memboikot sejumlah selebriti tempatan yang dilihat masih terus berkerjasama dengan jenama atau produk berkaitan rangkaian bisnes Israel.

Antara selebriti tempatan yang tersenarai dalam Gerakan #Blockout2024 ini adalah Meerqeen, Anna Jobling, Ruhainies, Mira Filzah, Nabila Razali, Nadhir Nasar, Eyka Farhana, Daiyan Trisha, Intan Najuwa, Mierul Aiman, Amir Ahnaf, Janna Nick, Awal Ashaari, Scha Al-Yahya serta Datuk Michelle Yeoh.

Turut tersenarai, pempengaruh media sosial seperti Troy Ling dan Syamimia, model Athina Kamaruddin serta beberapa usahawan produk seperti Datuk Seri Vida, Haliza Maysuri dan Cupcake Aisyah. – 16 Mei, 2024