‘Saya lebih cenderung kepada Sitizoners’ bermaksud kita perlu sokong karya artis tempatan berbanding antarabangsa: Fahmi

Beliau juga meminta masyarakat Malaysia terus menyokong dan menonton filem sendiri, agar penggiatnya akan dapat menghasilkan karya berkualiti, selain bakat tempatan diagungkan

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menjelaskan, beliau bukanlah ahli kelab peminat Datuk Seri Siti Nurhaliza iaitu Sitizoners tetapi lebih cenderung memilih penyanyi tempatan, berbanding artis antarabangsa. - Gambar Instagram Scoop, 12 Mei, 2024

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menegaskan, tanggapan segelintir pihak bahawa beliau adalah ahli kelab peminat Datuk Seri Siti Nurhaliza, iaitu Sitizoners sehingga perkara itu mencetuskan ‘kekecohan’ ramai hingga kini, adalah tidak tepat.

Katanya, apa dinyatakannya mengenai istilah beliau lebih cenderung kepada Sitizoners ketika perbahasannya pada sesi persidangan Parlimen baru-baru ini, sebenarnya membawa maksud dirinya akan lebih memilih penyanyi tempatan, berbanding artis antarabangsa.

“Saya ingin jelaskan di sini mengenai isu kenyataan saya adalah Sitizoners. Ramai orang ‘agungkan’ (penyanyi antarabangsa) Taylor Swift. Tapi, bagi saya, kita (rakyat Malaysia) patut lihat kepada bakat tempatan.

“Dalam Parlimen saya cuba sampaikan mesej daripada kita jadi Swifty (gelaran untuk peminat Taylor Swift), baik kita jadi Sitizoners. Saya lebih berpihak menjadi Sitizoners. Itu konteks ayatnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Sembang Santai Dengan YB Altimet di Karnival 25th Keadilan di Sentul Depot di sini.

Fahmi antara tetamu jemputan selain isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Zaliha Mustafa.

Bagaimanapun, Fahmi berkata, sememangnya beliau adalah antara penggemar karya dendangan Siti Nurhaliza, terutama lagu berjudul Cindai.

Fahmi (dua, kanan) bersama isteri Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (dua, kiri) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Zaliha Mustafa hadir dalam program Sembang Santai Dengan YB Altimet sempena Karnival 25 tahun Keadilan di Sentul Depot, Kuala Lumpur hari ini. – Ellyna Ali/Scoop, 12 Mei, 2024

“Cindai adalah antara lagu Siti Nurhaliza paling saya gemari kerana seninya sangat-sangat tinggi. Ia adalah lagu kegemaran peribadi saya,” katanya.

Sementara itu, ketika menyentuh mengenai industri seni negara ketika memberikan ucapan pada acara berkenaan, Fahmi berkata, masyarakat Malaysia digesa terus menyokong penerbitan filem tempatan, agar penggiatnya dapat terus menghasilkan karya yang dekat di hati umum.

Tegasnya, meskipun kualiti filem dihasilkan Seniman Negara, Allahyarham Tan Sri P Ramlee di tahap terlalu tinggi serta memiliki nilai estetika tersendiri berbanding zaman sekarang, masih ada filem kini tidak kurang kualitinya.

Menurutnya, dengan cabaran dari sudut teknikal dan teknologi dihadapi ketika itu, pelakonnya turut melontarkan dialog ‘ad lib’ (spontan serta tanpa persediaan), namun penyampaiannya hebat dan dapat ditangkap penonton.

“Memang era kegemilangan filem studio Jalan Ampas adalah era terbaik. Tapi sekarang ini pun saya rasa ada filem baharu yang kualitinya sangat baik. Misalnya, filem Abang Adik, ia menceritakan isu kewarganegaraan dan ketidakadilan. Macam Imaginur mengenai kehilangan, memori.

“Kita ada banyak filem (baik dan berkualiti) sekarang ini. Jadi saya pohon semua, kita mesti sokong dan pergi tonton filem tempatan. Bagi peluang supaya pembikin filem kita boleh terus menghasilkan karya baik yang menceritakan kisah rakyat Malaysia,” katanya.

Fahmi memberi contoh, Abang Adik antara filem tempatan yang berkualiti dengan menceritakan isu kewarganegaraan dan ketidakadilan. – Gambar ihsan penerbit, 11 Mei, 2024

Sementara itu, Wan Azizah berkata, selain sebagai hiburan, filem adalah wadah penting yang dapat mencetuskan elemen ‘escapism’ (membebaskan diri) daripada masalah membelenggu diri dan fikiran.

“Mengapa industri hiburan di India sangat teguh? (Ini kerana) Walaupun India negara besar, tetapi jurang antara miskin dan kaya sangat jauh bezanya. Bagi golongan tidak berkemampuan, filem Bollywood yang dihasilkan selama tiga jam misalnya, menjadi satu daripada unsur ‘escapism’ mereka.

“Jadi, jika filem itu tidak cukup tiga jam, memang berlaku rusuhan kerana dengan sejumlah wang bagi membayar tiket, mereka dapat merasai kesenangan untuk meneruskan kehidupan dalam suasana kesusahan, apabila mendengar lagu, melihat hero dan heroin cantik serta menonton jalan ceritanya,” katanya. – 11 Mei, 2024