Tiada perancangan bikin konsert bersama, Amy Search jelaskan Denden hubunginya untuk mohon maaf

Amy Search menjelaskan perkara itu susulan gambar panggilan video di antara dia dan Denden yang telah tersebar di media sosial

Vokalis Search, Datuk Amy (kiri) tiada perancangan untuk bekerjasama dengan Denden dalam sebuah konsert seperti yang diandaikan ramai pihak selepas gambar panggilan video mereka tersebar di media sosial. - Gambar Instagram, 10 Mei, 2024

KUALA LUMPUR – Vokalis Search, Datuk Amy menafikan dia bakal berpadu suara dengan Denden, dalam sebuah konsert seperti andaian ramai.

Ia berikutan tersebarnya gambar-gambar Any bersama penyanyi kelahiran Bandung, Indonesia itu mengadakan panggilan video di media sosial, ketika Denden tidak lagi bersama Search KidDin.

Amy memberitahu dia tidak mempunyai perancangan untuk bekerjasama namun menerima panggilan video terbabit memandangkan Denden merupakan peminat tegarnya.

“Ketika saya sedang berbual dengan seorang rakan dari Tasik Malaya di Bandung, dia memaklumkan ada peminat tegar saya mahu bercakap dengan saya.

“Saya berasa berbesar hati untuk bercakap dengan Denden dan ketika itu dia sudah tidak lagi bersama dengan pihak di sana (Search KidDin). Jadi kami pun berbual menerusi video call.

“Dia memang mahu sangat jumpa saya waktu pertama kali datang ke Malaysia dan meminta pihak di sana (KidDin) untuk membawanya tetapi permintaannya itu tidak ditunaikan dengan alasan-alasan tertentu,” katanya pada sidang media Rumah Terbuka Raya Search yang berlangsung malam tadi.

Amy turut berkongsi intipati perbualannya bersama Denden dan memaklumkan penyanyi Indonesia itu memohon maaf kepadanya kerana tidak mengetahui bahawa Amy telah keluar dari Search.

“Dia memang tidak tahu dan tidak diberitahu oleh pihak di sana mengenai apa yang berlaku dalam Search dan saya keluar kumpulan itu. Denden hanya tahu selepas melihat poster saya membuat konsert bersama Search (team Amy bersama Hillary, Man Kidal dan Nasir).

“Dia sendiri terkejut apabila mendapat tahu dan bertanya kenapa Amy keluar. Jawapan yang diberikan adalah Amy sudah tua serta tidak boleh menyanyi lagi,’’ katanya.

Penyanyi kelahiran Bandung, Denden yang juga peminat tengar Amy Search membuat panggilan video untuk meminta maaf kepada legenda Rock tanah air itu. – Gambar Tangkap layar, 10 Mei, 2024

Ketika itu, Denden memberitahu Amy bahawa dia berasa seperti terperangkap dan bersalah kerana pada awalnya, dia menyangka dapat beraksi satu pentas Amy.

“Dia (Denden) juga beritahu saya, waktu buat konsert kedua dia sudah ambil keputusan untuk keluar dari Search. Selebihnya, dia hanya sekadar buat untuk menolong dan selepas Konsert Double Trouble, dia rasa tidak dihargai,” katanya.

Amy juga memberitahu, bahawa Denden amat gembira apabila dapat bercakap dan menatap wajahnya di dalam panggilan video itu.

“Selepas panggilan video itu dibuat dan gambar kami membuat panggilan video itu dimuatnaik di media sosial, Denden ada dapat panggilan daripada Din. Saya juga ada tanya kepada Denden, jika ada wartawan yang bertanya tentang hal panggilan video ini, bagaimana? Dia beritahu saya, ceritakan sajalah apa yang benar,” katanya. – 10 Mei, 2024