Sheriff kaut RM44.5 juta selepas 14 hari, Syafiq Yusof mampu atasi rekod Polis Evo 3 dan Mat Kilau

Polis Evo 3 yang juga arahannya sebelum ini berjaya meraih kutipan RM54.1 juta, manakala filem Mat Kilau arahan abangnya, Syamsul Yusof pula berjaya mengaut kutipan RM94.7 juta

Peluang Syafiq Yusof memecah rekod kutipan filem Polis Evo 3 dan Mat Kilau cerah apabila filem kepolisian, Sheriff arahan terbaharunya berjaya mengaut kutipan RM44.5 juta dalam tempoh 14 hari ditayangkan di pawagam seluruh negara. - Gambar PR, 2 Mei, 2024

KUALA LUMPUR – Pengarah filem Sheriff, Syafiq Yusof kini semakin selesa apabila filem aksi kepolisian terbaharu arahannya berjaya mengaut kutipan RM44.5 juta dalam tempoh 14 hari tayangan di seluruh negara.

Bahkan peluang Syafiq untuk memecahkan rekod kutipan filem Polis Evo 3 dan Mat Kilau juga semakin cerah seandainya filem ini masih mampu bertahan dan ‘demam’ Sheriff masih berterusan untuk tempoh sebulan.

Polis Evo 3 yang juga arahannya berjaya meraih kutipan RM54.1 juta tahun lepas manakala filem Mat Kilau arahan abangnya, Syamsul Yusof pula mengaut RM94.7 juta pada 2022.

Setakat ini, Mat Kilau masih memegang rekod menduduki tangga pertama sebagai filem tempatan yang berjaya mencapai mencapai kutipan tertinggi sepanjang zaman, diikuti Polis Evo 3 di tangga kedua.

Setakat ini, Mat Kilau arahan Syamsul Yusof yang mengaut RM94.7 juta pada 2022 masih memegang rekod tangga pertama sebagai filem tempatan mencapai kutipan tertinggi sepanjang zaman. – Gambar Studio Kembara, 2 Mei, 2024

Kedudukan di tangga ketiga adalah filem Munafik 2 arahan Syamsul Yusof dengan kutipan RM48 juta pada 2018, tempat keempat adalah Sheriff, manakala filem Hantu Kak Limah arahan Allahyarham Mamat Khalid di tangga kelima dengan kutipan RM36.4 juta pada 2018.

Di laman media sosial khususnya platform X, rata-rata peminat dan kaki filem memuji Sheriff serta menganggap ia sebagai filem Malaysia terbaik 2024 serta berbaloi untuk ditonton.

Tidak kurang juga yang memuji lakonan berkesan yang ditonjolkan Syafiq Kyle, Zul Ariffin dan Datuk Aaron Aziz. Namun, ada yang berpendapat Syafiq Kyle berjaya menandingi lakonan Zul Ariffin sebagai Sheriff di dalam filem ini.

Selain itu, penonton juga memuji kehebatan dialog, jalan cerita serta plot twist Sheriff yang tersusun kemas serta menganggap ia setanding dengan filem Hollywood. – 2 Mei, 2024