Cadangan buka UiTM kepada pelajar bukan Bumiputera: Azhar Sulaiman tidak setuju, ‘jangan cakap dah mengenai usul ini’

Perkongsian Azhar Sulaiman di Instagram tentang isu itu meraih sokongan padu daripada pengikutnya, terutama alumni UiTM

Azhar Sulaiman tidak bersetuju dengan cadangan Profesor Dr Raja Amin Raja Mokhtar yang mencadangkan pengajian UiTM dibuka kepada bukan Bumiputera - Gambar Instagram Azhar Sulaiman, 1 Mei, 2024

KUALA LUMPUR — Pelakon yang juga arkitek, Azhar Sulaiman, 52, menegaskan, dia tidak bersetuju dengan cadangan agar Universiti Teknolo Mara (UiTM) dibuka kepada bukan Bumiputera, walaupun hanya untuk kursus pengajian pascasiswazah.

Menyatakan pandangan dan pendiriannya ketika dihubungi Scoop, Azhar yang juga graduan UiTM berkata, penubuhan institusi pendidikan berkenaan yang diusahakan pemimpin Melayu sejak 1956, dikhususkan untuk kaum itu dan Bumiputera.

“Kita kena faham semangat dan tujuan asal sewaktu penubuhan awal UiTM dahulu adalah membantu anak Melayu dan Bumiputera untuk melanjutkan pelajaran di peringkat tinggi.
 
“Jadi, bila ada cadangan untuk melibatkan bukan Bumiputera masuk UiTM, bukan saya seorang sahaja tidak bersetuju, tetapi ramai yang ketika ini menyuarakan rasa tidak setuju mereka termasuklah alumni UiTM lain,” katanya.

Menurut Azhar, dia tidak mempunyai sebarang niat tidak baik terhadap cadangan dikemukakan Profesor Dr Raja Amin Raja Mokhtar yang juga bapa kepada model, Alicia Amin.
 
“Saya kenal mereka kerana mereka juga adalah kenalan keluarga. Tapi, saya rasa cadangan bapa Alicia itu memang tidak kena dengan tempatnya.
 
“Memang kita maklum dan faham dengan isu kekurangan doktor serta jururawat di negara ini, tapi saya pasti kita boleh cari penyelesaian lain. Malah, kita ada banyak UA lain,” katanya.

Jelas Azhar, dia berharap semua pihak menghargai usaha pemimpin lama menubuhkan UiTM dan meminta agar usul dicadangkan itu tidak diperkatakan lagi.
 
“Apa sahaja berkaitan atau di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) tidak boleh dibuka kepada bukan Bumiputera,” katanya.
 
Azhar adalah antara alumni UiTM yang memulakan pengajian dalam bidang Diploma Senibina di ITM (nama asal sebelum dinaik taraf kepada universiti pada 26 Ogos 1999) Manjung, Perak pada 1989 hingga 1995.

Dia kemudian menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Newcastle Upon-Tyne, Newcastle, United Kingdom (UK) dalam bidang sama.

Perkongsian Azhar mengenai pandangannya itu di Instagram, meraih sokongan padu daripada pengikutnya, terutama alumni UiTM.

Majoriti pengikutnya turut tidak bersetuju sama sekali jika UiTM dibuka kepada pelajar bukan Bumiputera.

Terdahulu, tular di media sosial cadangan dikemukakan Dr Raja Amin yang juga pengamal perubatan, agar UiTM menerima bukan Bumiputera sebagai pelajar bagi kemasukan pascasiswazah bidang perubatan, demi mengekang masalah kekurangan doktor di negara ini.

Mempertahankan pendirian bapanya, Alicia ketika diwawancara media menafikan bapanya seorang yang rasis.

Bahkan, katanya, apa cuba diperjuangkan bapanya adalah berkaitan isu kekurangan doktor dan jururawat yang amat kritikal di negara ini. – 1 Mei, 2024