Peminat Search bengang ketiadaan Denden, ini jawapan Amir Masdi selepas dipilih vokalis konsert

Din Search memberitahu, pemilihan Amir dibuat kerana dia memiliki segala pakej sebagai penyanyi rock

Amir Masdi mengakui terharu dan berbesar hati dipilih sebagai vokalis untuk Konsert Search Gemuruh, malah bersedia menerima apa sahaja komen, termasuk perbandingan antara dirinya dengan Denden. - Gambar PR, 28 April, 2024

KUALA LUMPUR – Pemilihan Amir Masdi sebagai vokalis Search untuk konsert mereka nanti, menimbulkan pertikaian serta perdebatan dalam kalangan peminat kumpulan muzik rock legenda itu di media sosial.

Ada menganggap usia Amir tidak sesuai untuk memikul tanggungjawab tersebut kerana ‘masih terlalu hijau’ dan ada berpendapat sebaliknya.

Mengulas mengenai isu itu, Amir berkata, dia sudah bersedia menerima apa sahaja komen daripada peminat kumpulan berkenaan, saat menjayakan Konsert Search Gemuruh yang bakal diadakan di Zepp Kuala Lumpur pada 29 Jun ini.

“Saya sudah bersedia. Saya dan pasukan saya selalu memikirkan ke hadapan supaya kita dapat membuat persediaan untuk menerima apa juga komen atau bagaimana hendak menangani komen (negatif),” katanya.

Bahkan, Amir mengakui, dia sudah bersedia jika dirinya dibandingkan dengan vokalis Search sebelum ini, iaitu Denden yang berasal dari Bandung, Indonesia.

“Bagi saya perbandingan ada di mana-mana. Tidak kisahlah jika saya mengadakan projek khas seperti Konsert Search Gemuruh ini atau kerjaya solo saya.

“Perbandingan sentiasa berlaku sama ada sekarang atau masa hadapan. Tapi, apa mampu saya katakan, ia boleh dijadikan pembakar semangat untuk pergi lebih jauh atau sebaliknya. Kita yang menentukannya,” kata penyanyi berusia 27 tahun itu.

Penyanyi berasal dari Bandung, Indonesia, Denden berada dalam senarai awal untuk menjayakan konsert Gemuruh sebelum tempatnya diambil alih oleh Amir Masdi. – Gambar Facebook Denden, 28 April, 2024

Mengenai pemilihannya sebagai vokalis di dalam Konsert Search Gemuruh, Amir berkata, dia terkejut dan berbesar hati kerana sudah lama menyimpan impian untuk beraksi dengan kugiran legenda rock tanah air itu.

“Saya dapat tahu perkara ini sewaktu dihubungi pengurus saya, Abang Lan yang memaklumkan bahawa saya mungkin terlibat sebagai vokalis dalam projek khas konsert Search, jika ada rezeki.

“Saya memang gembira sangat. Sebab sebelum ini saya pernah kata, saya teringin sangat nak bekerjasama dengan abang Din dan abang Kid suatu hari nanti.

“Bila dapat berita itu saya rasa seperti tidak percaya dan apa dikongsi cukup membuatkan impian saya menjadi kenyataan,” katanya.

Malah, hingga saat ini, Amir mengakui, dia masih tidak percaya dengan pemilihannya itu.

“Saya tidak mempunyai pengalaman menonton konsert Search sewaktu saya kecil. Tapi, bila besar dan bekerja di dalam industri muzik, saya rasa sangat dihargai apabila berpeluang berkongsi satu pentas dan poster dengan Search. Terima kasih buat abang Kid dan Din,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan mengenai pemilihan Amir dalam konsert Search itu, Din berkata, keputusan berkenaan dibuat kerana penyanyi rock muda tersebut memiliki segala pakej dimahukan mereka.

Din Search menjelaskan, Amir dipilih sebagai vokalis dalam konsert Search kerana penyanyi muda itu memiliki pakej dimahukan mereka. – Gambar Instagram Din Search, 28 April, 2024

“Perancangan memilih Amir sebagai vokalis Search sudah lama ada. Tapi, waktu itu dia masih muda sangat. Jadi ini adalah saat sesuai, apatah Denden bukan vokalis tetap kami dan pada saat ini mempunyai komitmen terhadap kerjaya solo nyanyiannya.

“Kami tak fikir pasal nak kumpul peminat baharu tetapi kami memilihnya kerana aliran muzik, imej dan suaranya yang rock.

“Banyak lagu Search dia bawakan di YouTube miliknya seperti Pawana, Isabella dan Fantasia Bulan Madu. Saya rasa kami tak perlu uji bakat dia lagi. Dia dah lulus,” katanya. – 28 April, 2024