KUALA LUMPUR — Seperti tahun-tahun sebelumnya, banyak jenama atau syarikat yang dilihat berlumba-lumba menggunakan khidmat pelakon berkaliber profesional tempatan bagi menyampaikan mesej yang cuba diketengahkan dalam iklan raya mereka.
Tahun ini juga tidak terkecuali. Antara wajah-wajah popular pelakon yang menghiasi iklan raya adalah Beto Kusyairy, Nasir Bilal Khan, Fatimah Abu Bakar, Bell Ngasri, Khatijah Tan, Nadia Aqilah, Sherlie Merlis, Zaidi Omar, Joey Daud dan Jalil Hamid.
Selain itu, Sharnaaz Ahmad, Shukri Yahya, Nadhir Nasar, Amir Ahnaf, Sharifah Amani, Shaheizy Sam, Meerqeen, Amerul Affendi, Nadiya Nissa, Liza Abdullah, Sheila Mambo, Zamarul Hisham, Fauziah Ahmad Daud, Shafiwe Naswip, Dian P Ramlee, Arash Mohd dan ramai lagi.
Namun di antara semua pelakon yang sedia ada ini, Beto ternyata menjadi pelakon paling laris dan paling banyak menghiasi iklan raya tahun ini.
Apa tidaknya, enam iklan raya sahaja telah diterajuinya iaitu Elrah, Agro Bank, BH Petrol, ASDF, Furvit dan Adabi.
Pengarah iklan komersial, Bobby Husaini yang mewakili agensi pengiklanan, Tangerine Films Sdn Bhd berkata, perkara itu tidak dapat dielakkan kerana ‘client’ (pelanggan) sendiri yang meminta mereka selaku agensi pengiklanan untuk mendapatkan pelakon tersebut.
“Saya sendiri tidak tahu kenapa. Tapi mungkin, ia adalah kesan daripada filem Mat Kilau yang dibintangi Beto sebelum ini. Sejak dia tampil dalam filem itu, memang banyak syarikat korporat yang mahukan Beto untuk muncul dalam iklan raya mereka.
“Tahun ini sahaja, kita dapat lihat kemunculan Beto dalam enam iklan raya termasuklah tiga iklan raya yang kami hasilkan iaitu Elrah, BH Petrol dan Agro Bank,” katanya kepada Scoop.
Namun kata Bobby, dia memang sudah biasa bekerja dengan Beto dalam iklan raya yang sebelum ini, termasuk Saji.
“Secara peribadi saya suka dan selesa bekerja dengan Beto. Malah, saya rasa keserasian yang baik dengan Beto. Satu perkara yang menarik mengenai Beto adalah persiapan yang dilakukannya untuk membintangi sesebuah iklan raya.
“Pernah suatu masa dahulu, waktu kita hendak buat ‘job’ untuk sebuah iklan raya, Beto tiba-tiba bertanya saya mengenai gaji dan apa kerja watak yang dibawanya? Soalan yang dikemukakan oleh Beto itu adalah mengenai wataknya dalam iklan raya tersebut. Bayangkanlah sampai ke tahap itu Beto membuat persediaan untuk perkembangan wataknya,” katanya.
Sempena sambutan raya yang bakal tiba, Scoop himpunkan enam iklan raya Beto pada tahun ini untuk anda ‘layan’ dan tonton.
Tak Pernah Suka Mak – Elrah
Antara iklan yang paling tular serta paling banyak dibarisi wajah pelakon popular seperti Sharnaaz Ahmad, Fatimah Abu Bakar, Meerqeen serta Beto sendiri. Ia memaparkan kisah benar pemilik Elrah apabila ibunya membezakan kasih sayangnya dengan adik-beradik lain dan Beto telah menghidupkan wataknya itu dengan berkesan sekali.
Janji Amir – Agro Bank
Iklan ini dijayakan Beto bersama dua lagi pelakon hebat, Nadiya Nisaa dan Amerul Affendi. Janji Amir mengisahkan tentang pemuda bernama Amir yang terlalu sibuk dengan kerja hingga sering mengabaikan tanggungjawab terhadap ibunya.
Dia kemudian menyesal dan ralat kerana tidak sempat makan bersama ibunya yang tiba-tiba meninggal dunia. Sejak itu, Amir menjadi seorang yang tidak waras dan sering bercakap dengan ibunya yang sudah tiada.
Duit Raya Fazli – BH Petrol
Iklan ini dijayakan Beto bersama pelakon berkaliber Jalil Hamid dan Azizah Mahzan. Beto sebagai Fazli mengimbas semula kepayahan dan kesusahan bapanya yang tidak mempunyai sesen duit pun untuk mengisi minyak di stesen minyak tersebut selepas mereka pulang beraya sewaktu zaman kanak-kanaknya.
Bahagia Raya – Furvit
Iklan ini membawa kisah mengenai Safuan yang hidup sebatang kara selepas kehilangan ibunya dan ditemani kucing kesayangan, Bobo.
Namun, selepas kehilangan Bobo yang terlibat dalam kemalangan jalan raya, Safuan tidak bersemangat untuk beraya. Ia dibintangi Beto bersama seorang lagi pelakon hebat, Liza Abdullah.
Silat Raya – ASDF
Iklan ini menggandingkan Beto dengan rapper Balan Kash dan penyanyi Kucaimars serta driffer, Nim 199. Diinspirasikan daripada filem P Ramlee, Pendekar Bujang Lapok, ketiga-tiga mereka terpikat dengan seorang gadis yang disangka anak kepada seorang tok guru silat.
Mereka bertiga kemudian mengambil keputusan untuk belajar silat daripada tok guru silat tersebut dan tugasan pertama yang perlu dilakukan adalah membantu tok guru membuat persiapan raya. Akhirnya mereka kecewa apabila mendapat tahu bahawa gadis itu adalah isteri kepada tok guru.
Potret – Adabi
Diterajui Beto, iklan raya ini memaparkan hubungan sepasang suami isteri yang sering tidak sefahaman dan terlalu mementingkan diri sendiri sehingga menyebabkan anak menjadi mangsa.
Namun, akhirnya ia menyedarkan mereka bahawa anak adalah pengikat kasih sayang dan walaupun sudah berpisah, hubungan kekeluargaan tetap harus dijaga. – 7 April, 2024