KUALA LUMPUR – Tak sah raya kalau tiada iklan raya! Mungkin ungkapan ini dianggap sedikit ‘over’ bagi segelintir pihak, namun iklan raya yang dihasilkan syarikat korporat atau jenama terkemuka memang seringkali dinanti-nantikan terutama apabila dua minggu terakhir menjelangnya Syawal.
Ada iklan raya yang benar-benar menghiburkan kerana tampil dengan idea berbeza, ada yang disampaikan dengan lawak mencuit hati dan ada pula mengusik jiwa serta menyentuh hati hingga membuatkan kita mengalirkan air mata, tanpa sedar.
Iklan raya yang selalunya berjaya menambat hati penonton tidak hanya terletak pada kekuatan jalan cerita, garapan, penyampaian serta lakonan semata-mata, tetapi juga dari sudut subjek serta mesej yang cuba disampaikan.
Ikuti 13 iklan raya 2024 paling menarik serta mempunyai mesej yang kuat dan berkesan untuk kita renungi bersama sempena Syawal ini.
Lembaran Baharu – RHB
Inilah iklan raya yang boleh dianggap sebagai iklan raya terbaik tahun ini kerana mempunyai mesej yang cukup sarat dan kuat mengenai erti kemanusiaan, kemaafan, pengorbanan, lembaran baharu serta turut menyelitkan elemen semangat satu Malaysia.
Diangkat dari kisah benar yang dilalui bekas peguam, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar kira-kira 25 tahun lalu, iklan raya ini memaparkan kisah seorang ibu yang mencuri kotak pensil demi menunaikan janji kepada anak lelakinya yang berjaya meraih peperiksaan nombor satu di kelasnya.
Simpati dengan nasib wanita itu, peguam Zaharil cuba membantu untuk meringankan hukumannya dengan memberikan hujah yang cukup berbekas di hati kita semua sewaktu di mahkamah: “Benda yang kecil dan tak penting untuk kita, adalah segalanya untuk orang lain”.
Apa yang menarik, peguam Zaharil bersama anak wanita itu yang akhirnya turut mengikut jejak langkahnya dengan menjadi peguam ditampilkan pada penghujung iklan raya ini yang berjaya meraih tontonan sebanyak ratusan ribu dalam tempoh 24 jam.
Kena sediakan tisu kerana percayalah, sepanjang menonton iklan raya menyayat hati ini, anda tidak akan berhenti menangis, biarpun barisan pelakonnya terdiri daripada nama yang tidak dikenali.
Conteng – PKNS
Conteng antara iklan raya paling hangat diperkatakan netizen dan tular di semua platform media sosial kerana memiliki kekuatan mesej serta jalan ceritanya yang menyentuh hati. Bayangkan dalam tempoh kurang 48 jam, ia berjaya mencapai 150,000 tontonan.
Conteng yang diilhamkan dari kisah benar mengisahkan tentang seorang remaja lelaki dyslexia yang tidak minat belajar tetapi lebih cenderung kepada melukis tetapi masalahnya itu gagal difahami bapanya sehingga menganggap dia malas ke sekolah.
Merajuk dan terasa hati apabila dimarahi bapanya, dia kemudian melarikan diri dan tidak pulang ke rumah selepas 20 tahun. Namun, siapa sangka, remaja lelaki itu akhirnya menjadi pelukis terkenal dan ternama.
Iklan ini berjaya membuka mata ramai ibu bapa supaya sentiasa peka terhadap sikap dan kelakuan anak-anak terutama jika lambat membaca atau lambat mengeja, suka melukis serta sering melihat tulisan terbalik.
Iklan raya yang dimuat naik sejak 23 Mac lalu ini sudah mencecah hampir 500,000 tonton serta menggunakan beberapa wajah pelakon yang terkenal termasuk aktor berkaliber, Jalil Hamid serta beberapa bakat-bakat daripada Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).
Niat – Etiqa
Iklan raya terbitan syarikat insurans dan takaful Etiqa juga mempunyai mesej yang kuat. Ia cuba memaparkan mesej mengenai sikap kita yang adakalanya tidak peka atau tidak sensitif apabila bersama dengan golongan orang kurang upaya (OKU).
Dalam iklan raya ini, seorang budak lelaki bernama Shukri telah mengambil upah membuat kerja-kerja rumah daripada ibu bapanya untuk mengumpul wang. Niatnya adalah untuk menggunakan wang tersebut bagi membeli cermin mata hitam dan headphone untuk sepupunya yang menghidap autisme.
Sepupunya sering ketakutan apabila mendengar bunyi mercun dan bunga api serta tidak selesa apabila berada di sekeliling ramai orang dengan simbahan cahaya dan lampu yang penuh warna-warni dan Shukri menghadiahkan kedua-dua barang itu untuk membuatkan dia jadi selesa.
Iklan raya ini sudah pun mencecah lebih 1.3 juta tontonan setelah ia mula ditayangkan di YouTube pada 22 Mac lalu.
Suamiku is Love – Takaful Ikhlas
Usah pandang pada tajuknya, sebaliknya tontonlah iklan raya yang dibintangi pelakon Aishah Azman dan penyanyi, Andi Bernadee serta hayatilah mesej mengenai keikhlasan hati yang cuba diterapkan dalam diri kita semua.
Iklan raya ini menampilkan pasangan yang baru bernikah dan mengikut perjanjian, raya pertama yang dituju adalah ke rumah keluarga isteri. Namun, pada saat-saat akhir, suami meminta agar raya pertama kali ini disambut di rumah ibunya yang tinggal keseorangan.
Awalnya, isteri tidak mahu mengalah, namun sewaktu dalam perjalanan pulang, dia kembali teringat detik-detik manis kala mereka mula saling mengenali dan bercinta.
Keikhlasan suami dalam menjalin hubungan berjaya menambat hatinya dan dia juga kini mahu melakukan perkara yang sama iaitu ikhlas dengan tindakannya untuk beraya di rumah keluarga suaminya pada raya pertama.
Suami Mithali 2024 – Taylor’s College
Sejak muncul dengan iklan raya Sadaqah, Taylor’s College tidak pernah gagal menghasilkan iklan raya yang ‘out of the box’ serta memiliki mesej berguna. Tahun ini, mereka tampilkan pula kisah suami yang sanggup berkorban menjadi house husband apabila isterinya berpeluang naik pangkat dalam kerjanya.
Mesej di sebalik iklan ini adalah untuk menyedarkan kita semua supaya tidak cepat jatuh hukum apabila kita berdepan dengan suami yang menjadi house husband dan kita harus selidik dahulu perjalanan hidup mereka.
Malah, kita juga harus menyedari bahawa pengorbanan suami yang sanggup dan rela menjadi house house adalah bukti betapa penting mereka juga amat turut sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada isteri tercinta.
Sejak mula ditayangkan di YouTube pada 20 Mac lalu, iklan raya ini sudah mencecah 1 juta tontonan dan watak isteri dimainkan dengan begitu berkesan oleh pelakon Nadia Aqilah.
Aku Sebuah Beg Pesanan – Grab
Sebuah iklan raya yang cukup unik dan menarik kerana mengetengahkan subjek mengenai beg pesanan yang digunakan rider-rider Grab yang mungkin dianggap remeh oleh kita semua tetapi fungsi dan peranannya amat penting sekali.
Sebuah beg pesanan kepunyaan seorang rider Grab telah melarikan diri kerana sudah terlalu penat bekerja. Namun, dia tidak menyedari, tindakannya menyebabkan rider Grab itu kehilangan punca rezeki terutama dalam membuat persiapan menjelangnya raya.
Melihat keadaan tersebut dan setiap kenangan bersama tuannya itu, beg pesanan itu terasa sedih sehingga mengalirkan air mata. Akhirnya, dia pulang semula ke pangkuan tuannya itu dan mereka berdua kembali bekerja mencari rezeki bersama.
Moral di sebalik cerita ini, pesanan daripada setiap pelanggan adalah perkara yang paling berharga buat rider Grab dan beg pesanan adalah barang keperluan yang menyatukan mereka dengan pelanggan.
Kalaulah – Alicafe
Sikap terlalu mementingkan diri adakalanya membuatkan kita kurang menghargai orang tersayang yang ada di sekeliling kita terutama ahli keluarga. Namun, apabila mereka tiada kerana berdepan dengan tragedi yang meragut nyawa, barulah kita menyedari erti sebuah penyesalan.
Kalaulah waktu boleh diundur semula, pasti kita akan berusaha memperbetul sikap dan perbuatan kita, namun adakalanya penyesalan itu tidak berguna dan kita harus jadikan iktibar agar ia tidak diulang semula pada masa hadapan.
Tema ini mungkin agak klise tetapi garapan dan jalan cerita yang disampaikan cukup menarik kerana ia mempunyai plot twist dan sinematografinya juga cukup mengasyikkan. Iklan raya ini menampilkan Khai Bahar sebagai teraju utama dan diarahkan pengarah filem tersohor, Osman Ali.
Kisah Raya Papa – PruBSN 2024
Bayangkan bagaimana kecohnya suasana apabila seorang ayah terpaksa memikul tanggungjawab sebagai ibu untuk membesarkan dan menguruskan tiga orang anak perempuan yang masih bersekolah apabila isterinya meninggalkan dunia?
Anak-anak pula langsung tidak mengendahkan perasaan si ayah yang terpaksa membuat kerja-kerja rumah tanpa bantuan mereka.
Namun, iklan raya yang pada mulanya ceria ini kemudian bertukar hiba apabila si ayah mula mengenangnya arwah isterinya dan mula meluahkan rasa bahawa dia gagal melaksanakan tugasnya dengan baik.
Kena pula yang melakonkan watak ayah adalah pelakon berkaliber, Arash Mohd. Memang hebatlah lakonannya. Anak-anaknya yang sempat mendengar luahan bapa mereka, mula menyesal dan kemudian cuba membantu memudahkan segala persiapan raya dengan bantuan saudara-mara.
Syurgaku – Proton X Little Joe
Diarahkan Pekin Ibrahim, iklan raya terbitan bersama Proton dan Little Joe ini memaparkan isu dalaman suami isteri yang gagal berkomunikasi dan berbincang dengan baik sehingga ia turut menjejaskan hubungan mereka dan persiapan raya.
Suami sibuk mencari duit siang dan malam untuk keluarga dan ibunya serta tidak gemar berkongsi beban mereka kepada isteri dan isteri pula berasa terpinggir kerana kurang mendapat perhatian daripada suami sehingga akhirnya apa yang terpendam itu terpaksa disuarakan sehingga mencetuskan pertelingkahan.
Sepertimana judulnya, iklan ini cuba menyampaikan mesej bahawa bukan hanya ibu sahaja syurga buat seorang anak lelaki tetapi menjaga perasaan dan kebajikan anak isteri, ia juga ibarat seperti membahagiakan seorang ibu.
Iklan yang berdurasi lebih 20 minit ini dijayakan pelakon mantap Shaheizy Sam, Sharifah Amani serta Datuk Fauziah Ahmad Daud. Ia meraih tonton lebih 100,000 sejak ditayangkan di YouTube pada 27 Mac lalu.
Siapa Betul – L’Occitane Malaysia
Iklan raya produk yang diterbitkan syarikat produk kecantikan daripada Perancis ini menampilkan tema yang berbeza iaitu pertembungan dua generasi iaitu ibu dan anak perempuan yang berlainan prinsip hidup, cara fikir dan keinginan diri.
Kemelut inilah yang cuba dikupas dalam iklan raya yang dijayakan pelakon terkenal Sherie Merlis denngan Zera Hariz ini. Setiap ibu inginkan yang terbaik untuk anaknya, manakala anak pula ingin mencatur hidup sendiri. Siapa betul?
Baik si ibu atau si anak, dua-dua adalah salah dan ego sendiri dan raya adalah saat yang terbaik untuk saling bermaaf-maafan.
Sama- Sama Melangkah – Mr DIY
Sebuah iklan raya yang cukup meruntun hati mengenai tindakan seorang anak lelaki yang berasa serba salah apabila terpaksa menghantar ibunya tinggal di rumah jagaan orang tua untuk sementara waktu kerana kesibukannya dengan kerja.
Ia mungkin kedengaran klise, namun iklan raya ini mempunyai plot twist apabila si anak lelaki tadi akhirnya sanggup kembali untuk mengambil semula ibunya dan berjanji akan menjaga sendiri ibunya walaupun terpaksa bersusah payah.
Mula ditayangkan di YouTube pada 12 Mac lalu, iklan ini berjaya meraih lebih 5.4 juta tontonan.
Raya Paling Kecoh – Takaful Malaysia
Memilih untuk menghasilkan iklan raya komedi, Raya Paling Kecoh yang diterajui pelakon hebat, Bell Ngasri dan Khatijah Tan ini mengangkat isu ‘scammer’ yang cukup relevan dengan situasi dan keadaan masa kini.
Samsiah (Khatijah) sering memuji Borhan (Bell) di hadapan orang kampung dan berbangga kerana anaknya itu memiliki pekerjaan yang bagus dan gaji besar sehingga melarangnya bekerja untuk mencari duit tambahan.
Namun, Borhan sebetulnya seorang scammer dan menipu duit ramai orang dengan menjadi tok bomoh palsu.
Moral di sebali iklan raya ini, kita usahlah cepat bangga diri dan haruslah berwaspada dengan ahli keluarga sendirijikakekayaan mereka itu meragukan. Mula ditayangkan sejak 22 Mac lalu, iklan raya ini sudah berjaya meraih 1.2 tontonan.
Mana Duit Raya: Boost 2024
Pernah tak anda semua terfikir dan tertanya, ke mana perginya duit raya anda yang dikumpul masa kecil-kecil dahulu apabila anda menyerahkan ia kepada ibu anda untuk disimpan? Mana perginya semua duit raya itu? Dan, apa yang ibu anda lakukan dengan duit tersebut?
Kalau ibu anda menyimpannya di bank, ia mungkin boleh menjadi bukti duit raya anda disimpan baik selama ini. Tapi, kalau anda tak tahu ia pergi mana, maka wajarlah anda menonton iklan raya nih yang dilakonlan Ayda Jebat ini kerana ia mampu mengembalikan nostalgia zaman kecil anda. – 1 April, 2024