KUALA LUMPUR – Hasrat pelakon jelita kelahiran Singapura, Hannah Delisha untuk menimang cahaya mata sulung tidak kesampaian selepas dia mengalami keguguran dan berita sedih itu dikongsinya lewat malam tadi.
Hannah atau nama sebenarnya, Hannah Adlina Blackburne Birch, 27, berkata, perkongian itu diharap dapat menyuntik semangat kepada wanita lain yang berdepan situasi sama agar tidak patah semangat.
“Kesedihan yang tidak tertanggung, dialami ramai tetapi tidak dikongsi. Saya harap dengan membaca perkongsian saya ini dapat memberi kekuatan kepada wanita yang pernah kehilangan bayi menyedari mereka tidak bersendirian.
“Semoga Allah memberikan kesembuhan, meringankan kesakitan dan mengisi hati kita dengan ketenangan dan keselesaan. InsyaAllah jumpa di syurga nanti sayang,” tulis pelakon dari Singapura itu.
Rata-rata netizen bersimpati dengan Hannah dan mengharapkan dia segera sembuh daripada kegugurannya itu.
Hannah sebelum ini mendirikan rumah tangga dengan pelakon senegara, Imam Shah pada 18 Februari 2021 selepas lima tahun menjalinkan hubungan cinta.
Bagaimanapun, aktres berdarah campuran Inggeris dan Melayu ini tidak pernah berkongsi berita mengenai kehamilannya sama ada kepada media mahupun peminatnya.
Namun, peminat seolah-olah dapat menghidu mengenai kehamilannya itu apabila melihat perubahan di bahagian perutnya.
Dalam perkembangan lain, peminat juga mahu melihat Hannah kembali bergandingan dengan aktor Shukri Yahya selepasa drama bersiri yang mereka terajui, Andai Itu Takdirnya menjadi fenomena.
Bahkan, ada yang mengharapkan agar wujudnya, Andai Itu Takdirnya 2.
Sabar ya! Tidak lama lagi Hannah bakal muncul dalam drama bersiri Lelaki Ini yang akan mula bersiaran di TV3, esok. Siapa aktornya? Tunggu! – 18 Mac, 2024