KUALA LUMPUR – Bagi yang sedang menonton drama bersiri 40 episod, Takdir Itu Milik Aku yang diadaptasi dari novel Siti Rosmizah, pasti sudah hadam dengan lagu nyanyian Liza Hanim menggunakan tajuk sama.
Meskipun begitu, ia sebenarnya bukanlah sebuah lagu tema dicipta khusus untuk drama arahan Feroz Khan yang diterajui Shaheizy Sam dengan Emma Maembong itu, sebaliknya untuk lagu pembukaan dan penutupnya.
Bagi lagu tema sebenar Takdir Itu Milik Aku, sebuah lagi lagu iaitu Dugaan Takdir Cinta ciptaan Ejai Aziz dan Kelana dengan lirik dihasilkan Siti Rosmizah sendiri yang dipersembahkan Afif Tirmizie dan Nikki Palikat secara duet, sudah dilancarkan dan dijangka memberi impak terhadap drama tersebut.
Ia juga adalah gabungan pertama Afif dan Nikki dalam lagu dan petanda bermulanya sejarah dalam perjalanan muzik mereka berdua.
“Sudah lama Nikki tidak merakamkan lagu duet. Semestinya Nikki gembira dan berbesar hati dengan tawaran ini.
“Bagi Nikki, lagu ni unik kerana ia berbeza dengan lagu berunsur cinta yang lain. Lirik lagu ni menunjukkan ada prasangka yang wujud di antara pasangan bercinta. Meskipun mereka ditakdirkan bersama, namun dugaan tetap melanda.
“Nikki sendiri pernah mengalami keadaan seperti ini, jadi lagu ini penuh makna. Apa yang menarik, Nikki juga sangat suka vokal Afif. Di peringkat demo pun, penghayatan dia tu luar biasa dan menjadikan proses rakaman begitu seronok bagi saya. Berkaryalah kami dalam studio tu hahaha,” katanya.
Sementara itu, Afif pula berkata, selain perlu menyesuaikan melodi mengikut citarasa pendengar masa kini, cabaran lain dihadapi adalah mencari penyanyi wanita sesuai bergandingan dengannya.
“Saya adalah penyanyi lelaki pilihan Siti Rosmizah dan mereka menghadapi cabaran atau misi mencari pemilik suara wanita pada ketika itu dan akhirnya mereka membuat keputusan memilih Nikki Palikat, iaitu naib juara Gegar Vaganza (musim 8) pada 2021.
“Apabila saya dapat tahu saya akan menyanyikan lagu Dugaan Takdir Cinta bersama Nikki Palikat, saya sangat teruja akan kolaborasi ini kerana kepakaran dan kemahiran vokalnya, menjadikan proses rakaman ini mampu berjalan lancar,” katanya yang asalnya merupakan anggota kumpulan The Fabulous Cats dan Nukilan. – 15 Mac, 2024