KUALA LUMPUR – Ribuan surat harapan yang ditulis dan ditandatangani penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza dilayangkan ke udara dan disambut peminatnya ketika Konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil malam tadi.
Ia adalah satu simbolik dilakukan Siti untuk menyampaikan kata-kata semangat buat penduduk di Gaza.
Surat harapan itu tertulis: “Daripada kami kepada kalian di sana. Doa kami sentiasa mengiringi. Teruslah kuat kerana sinar pasti menanti. Dan Allah SWT akan melindungi. Salam Dari Malaysia – Siti Nurhaliza”.
Siti turut membawakan dua lagu sebagai solidariti untuk Palestin menerusi lagu Basyirah dan Kurniaan.
Ia selari dengan tujuan utamanya mengadakan konsert amal ini untuk mengutip dana tabung Yayasan Nurjiwa bagi membantu rumah kebajikan dan anak-anak serta mereka yang berada di Palestin.
“Saya bersyukur kerana Dr Mohanad iaitu pengetua yang menguruskan sekolah Afwa Al Afiyah di Gaza telah dilindungi Allah SWT.
“Beliau jugalah yang menguruskan Yayasan Nurjiwa di sana dan membantu mengagihkan sumbangan yang anda semua berikan kepada penduduk di sana.
“Saya inginkan doa anda semua agar Dr Mohanad dan pasukan Yayasan Nurjiwa di sana terus selamat dan dilindungi Allah SWT,” katanya.
Siti menyatakan rasa terharu apabila peminat setianya daripada Portugal sanggup datang ke Malaysia untuk menyaksikan konsertnya itu.
Menurut Siti, peminatnya sekeluarga dari Portugal itu sudah pernah ditemuinya selepas dia mengadakan Konsert Siri Nurhaliza On Tour, kira-kira empat tahun lalu.
“Anak dia hafal semua lagu-lagu saya. Jadi anak dia adalah Sitizoners yang sejati,” katanya.
Pada konsert anjuran Yayasan Nurjiwa itu, Siti mengambil peluang untuk membawakan beberapa lagu yang jarang dinyanyikannya.
Namun, sebaik sahaja setiap kali dia membawakan lagu-lagunya yang hit seperti Azimat Cinta, Purnama Merindu, Kesilapanku Keegoanmu dan Bukan Cinta Biasa, seluruh peminatnya ikut menyanyi bersama.
Dalam konsert yang dipimpin Aubrey Suwito selaku pengarah muzik itu, Siti turut mengundang Judika sebagai penyanyi undangan dan berduet dengan lagu Cinta Dirgahayu, Seluruh Cinta dan Kisah Ku Inginkan. – 9 Mac, 2024