KUALA LUMPUR – Penyanyi yang juga komposer, Amir Jahari mendedahkan sebahagian hadiah wang tunai RM100,000 yang dimenanginya dalam Anugerah Juara Lagu Ke-38 (AJL38) akan diagihkan untuk kegunaan kerjaya seni dan kehidupan peribadinya.
Bercakap kepada Scoop, Amir Jahari atau nama sebenarnya Mohammad Amirullah Jahari, 31, berkata, dia akan menggunakan wang tersebut untuk membawa isterinya bercuti ke Yogyakarta, Indonesia sebaik dia selesai melancarkan album studio ketiganya selepas Aidilfitri nanti.
“Selepas saya mendirikan rumah tangga dengan isteri saya, Kartini Sulaiman pada 2013, kami memang teringin untuk bercuti ke luar negara, tetapi keadaan kewangan tidak mengizinkan.
“Akhirnya, kami hanya mampu berbulan madu di Kundansang, Sabah sahaja. Selepas dua tahun berkahwin, saya buat kejutan membawa dia (isteri) bercuti di Yogyakarta. Masa itu kami sudah ada anak pertama.
“Dia memang suka sangat dengan Yogyakarta dan pernah memberitahu ingin kembali semula ke sana suatu hari nanti. Insya-Allah, saya akan bawa dia bersama tiga anak kami ke sana,” katanya.
Amir yang melakarkan kemenangan manis apabila lagu nyanyian dan ciptaannya, Hasrat, dinobatkan juara lagu AJL38 juga mahu membawa ibunya menunaikan umrah.
“Dulu, waktu hayat arwah ayah saya masih ada dan sedang sakit, saya pernah kata, saya mahu bawa dia dan ibu pergi umrah. Memang saya tengah kumpul duit waktu itu sebab dia nak sangat pergi.
“Tapi, hasrat saya itu tidak kesampaian kerana arwah pergi meninggalkan kami semua. Terkilan juga bila mengenangkan hal itu. Jadi, sekarang ini, saya mahu bawa ibu saya sahaja ke sana,” katanya.
Dalam pada itu, Amir memberitahu dia turut melaburkan sedikit wang kemenangannya itu untuk membeli peralatan sistem ‘ear monitor’ untuk kegunaan dia dan empat lagi ahli band muziknya.
“Harga satu peralatan sistem itu mahal iaitu sekitar RM5,000. Jadi, saya akan beli peralatan sistem itu untuk kegunaan kami semua waktu buat persembahan,” katanya.
Bercakap mengenai kelahiran album ketiganya bertajuk Kembali yang sedang dalam proses untuk disiapkan, Amir berkata, ia mengandungi 13 lagu baru dan bakal dilancarkan pada 31 Mei ini.
“Proses pembikiman album ini sudahpun berjalan sebelum AJL38 lagi dan kita sudah rancang keseluruhan konsep dan rekaannya.
“Bahkan, kita baru sahaja lancarkan single baharu iaitu Ingin Pulang. Lagu ini memang sesuai untuk raya, jadi kita akan buat promosi lagu ini sepanjang Ramadan dan (Hari) Raya ini.
“Tajuk Kembali digunakan kerana ia mempunyai kesinambungan dengan album pertama, Penghibur Jalanan dan album kedua, Siang dan Malam sama ada dari sudut arahan bunyi mahupun perjalanan hidup dan kerjaya muzik saya,” katanya. – 8 Mac, 2024