Kesimbangan hormon penting untuk penjagaan dan kesihatan diri, Ella dedah rahsia dirinya awet muda, lincah di usia 50-an

Ella memberitahu dia telah menjalani Terapi Hormon Bio Identik untuk penjagaan dan keseimbangan hormonnya

Ella berkongsi manfaat penjagaan hormon melalui Terapi Hormon Bio Identik yang dijalani bersama Dr Linda (kiri) selama dua tahun yang membantunya kelihatan cergas, mengurangi berat badan serta kembali awet muda seperti mana zaman anak dara. - Gambar PR, 3 Mac, 2024

KUALA LUMPUR – Melihat susuk fizikal dan gayanya yang ligat dan sering beraksi lincah di atas pentas, memang sukar untuk mempercayai bahawa usia ratu rock tanah air, Ella Aminuddin bakal menghampiri 60 tahun dalam tempoh dua tahun lagi.

Bukan setakat menjaga pemakanan dan kesihatan diri semata-mata, namun Ella mendedahkan dia juga turut memastikan penjagaan dan keseimbangan hormon melalui Terapi Hormon Bio Identik yang dilakukannya bersama Dr Linda Mat Hassin.

“Ella mula menjalani rawatan yang dikenali sebagai Terapi Hormon Bio Identik bersama yang arif dalam bidang, Dr Linda semenjak hampir dua tahun lepas.

“Keadaan badan yang mudah lesu kurang ceria, susah tidur selain masalah kenaikan berat badan memberikan kesan kepada emosi, iaitu hilang keceriaan dan semangat untuk melakukan aktiviti seperti orang lain” katanya sewaktu ditemui di majlis ‘Superwomen Hormone Wellness Recognition Ceremony’.

Tambah Ella, keadaan emosi yang tidak menentu disebabkan oleh ketidakseimbangan hormon rupa-rupanya boleh memberi impak pada kesejahteraan dan kualiti hidup.

“Kini selepas mengikuti nasihat Dr Linda dengan melakukan rawatan ini secara konsisten, berat badan saya bukan saja kembali seperti semasa berumur 30-an, malah suami turut memuji bahawa saya kelihatan awet muda seperti zaman anak dara dulu,” katanya.

Ella berazam untuk berkongsi kebaikan dan manfaat penjagaan serta rawatan hormon dengan rakan-rakan selebriti dan peminat. – Gambar PR, 3 Mac, 2024

Ella juga berazam untuk berkongsi kebaikan dan manfaat penjagaan dan rawatan hormon dengan rakan-rakan selebriti serta peminat di luar sana.

Sementara itu, Dr Linda pula berkata, sudah sampai masanya masyarakat memandang berat tentang kondisi kesihatan hormon mereka kerana ia boleh memberi impak buruk terhadap kesihatan emosi, mental dan fizikal jika tidak ditata dengan baik.

“Kehadiran Ella bersama suami hampir dua tahun lepas, memberi hikmah kepada semua mereka yang masih tertanya-tanya atau langsung tidak tahu menahu apakah itu ketidakstabilan hormon, malah sebesar mana impaknya dalam memberi kesan negatif kepada emosi diri.

“Untuk itu, kami memilih untuk memfokuskan majlis pada hari ini untuk menghargai kerjasama dan dedikasi Ella selaku advokat kesihatan hormon, selain untuk beliau bersama-sama menyebarkan maklumat berguna kepada peminatnya dan rakan selebriti yang hadir, melalui pengalamannya menjalani Terapi Hormon Bio Identik selama ini,” katanya. – 3 Mac, 2023