
KUALA LUMPUR – Setelah bertahun lama mendiamkan diri, akhirnya pengarah yang juga pelakon Pierre Andre kembali ke industri perfileman untuk menggalas tugas dan tanggungjawab mengarahkan filem seram Jangan Pandang Belakang 2…Aku Tahu Asal Usulmu terbitan Metrowealth International Group (MIG).
Menurut Pierre yang juga anak kepada seniwati Khatijah Tan, bagi menghasilkan kesinambungan daripada filem Jangan Pandang Belakang yang pernah mencetuskan fenomena pada 2007, dia cuba menggunakan garapan berbeza daripada apa yang Ahmad Idham pernah lakukan.

“Saya tahu 17 tahun adalah tempoh yang lama untuk buat semula filem Jangan Pandang Belakang 2. Insya Allah, saya ada identiti saya sendiri sebagai seorang pengarah.
“Banyak filem lain yang sebelum ini dihasilkan menggunakan Jangan Pandang Belakang. Misalnya, filem parodi Jangan Pandang Belakang Congkak. Filem seperti itu lebih mudah dibuat. Tapi untuk filem yang original seperti Jangan Pandang Belakang 2 ini, ia lebih susah.
“Perlu juga saya jelaskan di sini, untuk projek filem Jangan Pandang Belakang ini, saya mula terlibat ketika 80 peratus skripnya sudah pun disiapkan dan saya hanya membuat penambahbaikan untuk baki sebanyak 20 peratus sahaja,” katanya.
Tambah Pierre, sebelum ini, dia sudah pun mendengar bahawa produser MIG, David Teo berhasrat menghasilkan filem Jangan Pandang Belakang 2 yang mana pengarahnya adalah Ahmad Idham.
“Saya tidak tahu apa masalah sehingga berlakunya rombakan. Akhirnya, pihak MIG menghubungi saya semula. Saya ambil masa juga untuk buat keputusan terima tawaran ini.
“Sebelum ni saya sudah tolak untuk arahkan hampir enam hingga tujuh filem sepanjang saya menghilangkan diri. Kali ini, saya rasa kalau dah rezeki di situ, memang situlah tempatnya.
“Sampai saat ini pun, saya masih terfikir kenapa saya terima filem ni. Mungkin ada sesuatu yang Tuhan nak bagi tahu. Mungkin ada hikmah di sebalik semua ini,” katanya lagi.
Berbalik kepada garapannya di dalam filem Jangan Pandang Belakang 2, Pierre menjelaskan, andai dia menggunakan pendekatan sama dengan Ahmad Idham dalam Jangan Pandang Belakang, dia bimbang ia akan menjadi lapuk atau ketinggalan zaman.
“Kalau saya bawa garapan lama, orang dah tahu teknik hantu merangkak dalam filem itu. Saya tak mahu bawakan benda yang sama. Kalau tengok balik Jangan Pandang Belakang, saya pasti ia akan jadi bahan ketawa.
“Sebab kita akan nampak penggunaan latex. Hantu tak sepatutnya macam tu. Tapi di era itu (2007) okay sahaja. Orang boleh terima. Tapi di era sekarang, orang akan ketawakan saya dan kata pengarah tak buat kajian,” jelasnya.
Menurutnya, apa yang cuba dia lakukan adalah karya itu nanti menyamai kualiti garapan filem seram dari Indonesia yang diterbitkan sejak kebelakangan ini.
“Kalau kita tengok, kebanyakan filem seram dari seberang ini banyak yang berkualiti dan saya cuba untuk menyamai kualiti garapan mereka. Bukan menyaingi garapan apa yang ada di sini.
“Dalam cerita hantu yang penting bukanlah hantunya semata-mata. Tapi juga garapan moodnya. Macam mana kita nak bina lakonan, tata cahaya dan kerja kamera.
“Dari situ baru kita boleh bentuk rasa yang seram. Barulah ada kemunculan hantu-hantu tapi ia tidak perlu ditunjukkan secara terus, Kena tunjuk sikit-sikit. Baru okay,” katanya lagi.
Jangan Pandang Belakang 2 ini dijayakan barisan pelakon seperti Emma Maembong, Iedil Dzuhrie Alaudin, Mawar Rashid, Alif Hadi, Khatijah Tan, Ruminah Sidek, Hafidzuddin Fazil, Cat Farish dan Kel Narina.
Filem itu memulakan penggambaran bermula hari ini.
Dalam perkembangan lain, MIG juga menyiapkan penggambaran dan menunggu tarikh tayangan bagi empat filem, iaitu Cheongsam Merah Darah, Ngesot, Citra Apartment dan Pontianak 200kg. – 20 Februari, 2024