‘Kembalikan 4 filem saya’, Sarimah Ahmad harap kerajaan bantu selesai kemelut dihadapinya

Keempat-empat filemnya itu adalah Detik 12 Malam, Jejak Bertapak, Dia Ibuku dan Kabus Tengah Hari yang masih gagal dipulangkan seorang individu

Bintang legenda, Datuk Sarimah Ahmad kesal apabila seorang penerbit dan usahawan terkenal bergelar Datuk gagal menunaikan janji memulangkan empat pita filem miliknya, biarpun sudah 36 tahun arwah suaminya, Yusof Majid meninggal dunia. - Gambar fail, 16 Februari, 2024

SUBANG JAYA – Bintang legenda di era kegemilangan Melayu Jalan Ampas, Datuk Sarimah Ahmad, 82, meluahkan rasa kesalnya apabila seorang penerbit dan usahawan terkenal bergelar Datuk gagal menunaikan janji untuk memulangkan empat pita filem yang diterbitkan di bawah syarikat produksinya.

Sarimah sewaktu ditemui berkata, empat filem diterbitkan syarikat produksinya yang diusahakan bersama arwah suaminya, Yusof Majid (suami keduanya) itu adalah Detik 12 Malam, Jejak Bertapak, Dia Ibuku dan Kabus Tengah Hari.

Selepas menyerahkan keempat-empat pita filemnya itu, Sarimah tidak pernah bersemuka dengan penerbit yang bergelar Datuk itu. – Gambar fail, 16 Februari, 2024

“Dia mengambil empat pita filem itu pada saat arwah suami saya meninggal dunia dan waktu itu jenazah arwah masih belum lagi dikebumikan.

“Katanya, arwah suami saya ada berhutang dengannya. Jadi, untuk melunaskan hutang tersebut, dia menyarankan kepada saya supaya saya menyerahkan empat pita filem tersebut supaya dia dapat menayangkannya dan membuat duit.

“Dia juga memberitahu saya, apabila hutang itu sudah diselesaikan, dia akan menyerahkan semula filem-filem saya itu.

“Tapi selepas 36 tahun pemergian arwah dia masih belum memulangkan lagi keempat-empat filem saya itu,” katanya sewaktu ditemui pada program Ziarah Madani bersama Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi, semalam.

Menurut Sarimah lagi, selepas kejadian menyerahkan keempat-empat pita filemnya itu, dia tidak pernah bersemuka dengan penerbit yang bergelar Datuk itu.

“Saya hanya berpegang kepada kata-katanya. Tapi, mana pergi janji-janjinya itu? Selama 36 tahun, saya pasti dia sudah pun buat duit dengan filem-filem saya apabila ia sering ditayangkan di kaca televisyen.

“Pasti juga hutang arwah suami saya seperti mana yang didakwanya itu sudah pun dilunaskan dalam tempoh tersebut,” katanya lagi.

Namun, Sarimah yang memiliki enam anak, 35 cucu dan 30 cicit ini mengakui dia sudah pun memaafkan individu yang mengambil hak filem-filemnya.

“Antara saya dengan dia, saya sudah pun maafkan dia. Sebab saya tidak mahu, apa yang berlaku ini akan menyusahkan saya di akhirat nanti. Tapi, sebagai seorang Melayu dan Islam, dia fikirlah sendiri dengan apa yang dilakukannya.

“Saya pun tidak tahu sama ada filem itu masih ada lagi di tangannya. Entah-entah dia sudah pun menjualnya. Saya tidak tahu,” katanya.

Sedih dengan nasib yang menimpa dirinya, Primadona Melayu yang terkenal dengan watak Rohani dalam filem Madu Tiga berkenaan, amat berharap pihak kerajaan akan dapat membantu menyelesaikan kemelut dihadapinya itu.

“Keempat-empat filem itu amat bermakna buat saya. Ia adalah titik peluh dan hasil kerja keras saya dan arwah suami saya ketika itu,” luahnya sebak.

Sekalipun berdepan dengan pelbagai kemelut, Sarimah yang masih lagi jelita dan awet muda mengakui tidak pernah kesal bergelar anak seni.

“Dengan hasil titik peluh bergelar anak seni inilah saya membesarkan anak-anak saya. Industri ini tidak salah tetapi orang di dalam industri sendiri yang mengotorkannya,” katanya. – 16 Februari, 2023