KUALA LUMPUR – Ibarat seperti kembali semula kepada akar umbi budaya Cina yang diwarisi daripada sebelah ibunya, itulah dirasai pelakon Susan Lankester sewaktu terlibat dalam projek filem Rain Town arahan Tunku Mona Riza yang kini ditayangkan di seluruh pawagam Malaysia.
Bahkan, menurut Susan, lokasi rumah di Taiping yang digunakan untuk penggambaran filem itu juga turut mengembalikan memorinya terhadap keadaan serta suasana di persekitaran rumah datuk dan neneknya di Ipoh setiap kali mereka bercuti di sana.
“Saya masih ingat waktu saya kecil, ibu saya yang ketika itu adalah ibu tunggal akan membawa kami pulang ke sana setiap kali cuti sekolah untuk menghabiskan masa dengan Po Po and Gung Gung (nenek dan datuk).
“Ibu saya mempunyai sembilan adik-beradik dan mereka juga berkahwin dan mempunyai anak-anak. Jadi saya mempunyai ramai sepupu. Setiap kali tibanya musim perayaan Tahun Baharu Cina pula, kami akan pulang dan tinggal di sana lebih kurang seminggu.
“Ketika itu, kami yang masih lagi kanak-kanak akan tidur di atas tilam di ruang tamu dan mereka yang dewasa pula akan tidur di dalam bilik. Kami tidur di bawah kipas dan pintu-pintu dibiarkan terbuka, tapi waktu itu ia sangat selamat,” katanya.
Kongsinya, pada saat itu lagi, dia dan adiknya memang nampak berbeza kerana berdarah campur berbanding sepupu lain.
“Tapi, kemudian adik perempuan bongsu kepada ibu saya berkahwin dengan lelaki Inggeris dan sejak itu saya mempunyai sepupu yang kelihatan sama seperti kami berdua.
“Saya rasa dia (adik ibu) dipengaruhi ibu saya. Ibu dan bapa saya menghantar dia untuk belajar di United Kingdom dan setelah berkahwin dia terus menetap di sana,” katanya.
Menurut Susan, dia turut mengunakan karakter ibunya untuk membawakan watak Aileen yang terpaksa berhadapan dengan sikap suami yang keras kepala, selain anak-anak yang tidak punya kebebasan untuk bersuara atau membuat pilihan dalam hidup.
“Ibu saya meninggal dunia akibat kanser kira-kira lima tahun lalu dan ini adalah satu-satunya cara untuk saya memberikan penghormatan buat ibu saya.
“Beliau adalah individu yang hebat dan mahu satu dunia tahu tentang dirinya. Bagaimana dia menangani sesuatu perkara, bagaimana ia berkorban untuk saya dan adik saya dan apa sahaja perkara mengarut yang terpaksa dilaluinya.
“Apabila seseorang wanita muda membesarkan anak berdarah campur pada generasi itu dan pada ketika itu sebagai seorang ibu tunggal, masyarakat tidak melayannya dengan baik.
“Dia berusia lewat 20-an sewaktu menjadi ibu tunggal dan apa yang dilaluinya memang tidak masuk akal tetapi dia melaluinya,” katanya.
Jelas Susan, semua memori mengenai ibunya kembali menerpa dalam ruang ingatannya dan dia bertanya kepada diri, apa yang akan ibunya lakukan kalau dia menjadi Aileen untuk menangani suami dan tiga anak dalam keluarga Choo?
“Bagaimana reaksinya apabila berhadapan dengan sesuatu perkara. Juga nada suara Aileen, saya gunakan nada suara ibu saya. Begitulah cara dia menangani saya dan adik lelaki saya dan pelbagai isu lain.
“Malah, adik-beradiknya yang lain juga akan sering datang kepada dia dan menceritakan masalah mereka. Dia yang akan bantu mereka untuk selesaikan masalah itu. Walhal, dia bukanlah anak sulung. Dia hanyalah anak tengah di antara sembilan beradik.
“Tapi, apa yang ada padanya itulah yang saya gunakan untuk mencipta watak Aileen dalam Rain Town. Secara peribadi, saya memang gemar memerhati orang. Saya mendapat banyak inspirasi bila melihat sikap orang, cara orang bercakap mahu pun berjalan. Sebagai aktor, anda perlu banyak memerhati,” katanya. – 12 Februari, 2024