Kerana sibuk di lokasi penggambaran, sudah tiga tahun Kimberly Chuah tidak dapat sambut Tahun Baharu Cina

Kimberly bagaimanapun akui dia sempat untuk makan besar pada malam ini

Biarpun sudah tiga tahun dia tidak berpeluang menyambut Tahun Baharu Cina bersama keluarganya kerana sibuk dengan syuting, Kimberly Chuah mengakui dia tidak berasa ia masalah besar dan ibunya juga amat memahami situasi itu. - Gambar Ellyna Ali/Scoop, 9 Februari, 2024

KUALA LUMPUR – Sejak mula melibatkan diri dalam bidang lakonan secara serius dan profesional, pelakon Kimberly Chuah, 24, mengakui dia tidak pernah berpeluang untuk menyambut Tahun Baharu Cina bersama keluarganya.

Tahun ini juga tidak terkecuali kerana dia terlibat dengan penggambaran drama bersiri Astro Originals, Project: Exit arahan Zulaikha Zakaria bersama barisan pelakon Sasha Abedul, Mierul Aiman, Naim Daniel, Nabila Huda dan ramai lagi.

Walau sudah tiga tahun tidak dapat beraya dengan keluarga, Kimberly masih meluangkan masa untuk makan besar bersama ibunya malam ini. – Gambar Ellyna Ali/Scoop, 9 Februari, 2024

“Sebetulnya sudah tiga tahun saya tak dapat nak beraya. Tahun lepas saya sibuk syuting di Perlis. Tahun sebelumnya di Kuala Lumpur. Tahun ini pula, saya sibuk dengan penggambaran Projek: Exit. Esok pun saya kena turun syuting.

“Tapi, untuk makan besar malam ini, saya sempatlah pulang untuk makan bersama ibu saya. Cuma kami berdua sahaja sebab ayah saya sudah meninggal dunia sejak lima tahun lalu,” katanya kepada Scoop.

Menurut Kimberly, bekerja sewaktu raya sebetulnya tidak menganggu langsung dirinya, bahkan ibunya juga amat memahami tugasnya sebagai anak seni.

“Ibu saya adalah segalanya buat saya. Dia sangat menyokong apa yang saya lakukan. Saya betul-betul bersyukur kerana mendapat seorang ibu yang cukup memahami seperti dia.

“Tapi, dia jenis yang pemalu dan tidak gemar menonjolkan diri. Jadi, dia bukan jenis ibu yang akan datang jenguk saya ke lokasi atau ikut saya ke mana-mana saya pergi.

“Waktu saya masuk pertandingan Dewi Remaja pada 2022, dia adalah orang yang paling akhir datang dan paling awal akan pergi. Malah, dia juga tidak mahu diwawancara,” katanya yang cukup fasih berbahasa Melayu.

Bercakap mengenai sambutan perayaan Tahun Baharu Cina, Kimberly yang juga anak tunggal dan berdarah Baba Nyonya di sebelah ibunya berkata, selalunya dia dan ibunya akan beraya di rumah kakak sulung ibunya dipanggil ‘mak long’.

“Rumah mak long penuh dengan pelbagai jenis kuih-muih. Jadi selalunya, saya akan duduk dan menikmati segala jenis kuih-muih yang dihidangkan itu. Kalau pasal kutip angpow pula, keluarga saya bukanlah jenis yang banyak bagi duit angpow. Itu sajalah aktiviti saya.

“Ibu saya pula selalunya akan sibuk berborak dengan adik-beradik dia. Jadi, kadangkala, walaupun saya jarang berada di rumah kerana sibuk di lokasi, dia tak adalah rasa sunyi pun. Sebab dia selalu sahaja berhubung dengan adik-beradiknya,” katanya.

Apapun, momen penting ketika perayaan Tahun Baharu Cina buat Kimberly adalah kualiti masa yang diluangkan buat seluruh keluarga.

“Saya lebih suka ziarah keluarga waktu raya. Sebab, pada waktu raya inilah kita semua akan kumpul bersama-sama dan kita selalunya jarang dapat menghargai masa-masa kita bersama keluarga kita.

“Adakalanya bila kita ada masa luang, kita lebih sibuk habiskan masa bersama kawan-kawan atau pun orang lain. Jadi, hanya pada waktu inilah kita dapat luangkan kualiti masa kita bersama mereka,” katanya.

Memandangkan dia dilahirkan pada Tahun Naga, Kimberly mengakui tahun ini sememangnya agak istimewa buat dirinya.

“Tapi, saya bukanlah jenis yang terlalu percaya sepenuhnya dengan perkara ini. Bagi saya, jika kita bekerja keras, kita pasti akan dapat prospek dan peluang yang baik,” katanya.

Jelas Kimberly lagi, dia juga lebih selesa berlakon dalam drama Melayu berbanding drama Cina sepenuhnya.

“Saya bersekolah di sekolah kebangsaan. Jadi, saya tak belajar bahasa Cina secara formal. Malah, di rumah pun saya lebih banyak bertutur dalam bahasa Melayu dan Inggeris dengan ibu saya,” katanya. – 9 Februari, 2024