KUALA LUMPUR – Nama anak gadis kepada Abby Abadi dan Norman Hakim iaitu Marissa Dania Hakim, 19, kembali hangat diperkatakan apabila dia didakwa sudah bernikah dengan lelaki dikenali sebagai Aslam di Thailand pada Disember tahun lalu.
Memetik laporan yang dikeluarkan oleh Harian Metro, Marissa dan Aslam dikatakan bernikah tanpa pengetahuan isterinya, Misya yang ketika itu sedang mengerjakan ibadah umrah.
Tahun lalu Misya pernah membuat pendedahan bahawa Marissa menjadi penyebab Aslam menceraikannya biarpun mereka sudah memiliki dua orang cahaya mata.
Namun, Misya dan Aslam dikatakan kembali rujuk selepas kontroversi itu reda.
Marissa juga mengakui kesilapannya dan memohon maaf kerana menjadi orang ketiga di dalam rumah tangga pasangan berkenaan.
Cubaan pihak media untuk menghubungi ibu kepada Marissa iaitu Abby juga gagal apabila dia tidak menjawab sebarang panggilan telefon mahupun mesej. – 7 Februari 2024