Mizz Nina mahu Musa dibesarkan dalam persekitaran Islamik, ‘saya mahu Musa jadi seorang Muslim yang baik’

Menurut Mizz Nina, dia sudah mempunyai perancangan untuk Musa dan mahu anaknya itu membesar dalam keluarga yang stabil

Kata Mizz Nina (di sini bersama Essam Muhammad, suaminya dan Musa), fokusnya sekarang adalah untuk kesejahteraan Musa, termasuklah rancangan masa hadapan serta pendidikannya - Gambar Instagram Mizz Nina, 7 Februari, 2024

SHAH ALAM — Aktivis kemanusian dan bekas penyanyi, Mizz Nina mahu anak angkatnya Musa membesar dalam persekitaran Islamik yang baik dan dalam keluarga yang stabil.

Malah, Nina atau nama sebenarnya Shazrina Azman, 44, berkata, dia sudah mempunyai perancangan untuk Musa.

“Apa yang kami fokuskan untuk Musa sekarang adalah kesejahteraannya, rancangan masa hadapan, pendidikan serta saya mahu pastikan dia dibesarkan dalam sebuah keluarga yang stabil di samping mama dan babanya.

“Kami juga ingin pastikan Musa membesar dalam persekitaran islamik yang baik kerana kami mahu dia membesar menjadi seorang muslim yang baik,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.

Sejak bercerai dengan bekas suaminya iaitu Noh Salleh pada Ogos 2022, Musa tinggal bersama Nina di atas persetujuan bersama.

Namun hujung tahun lalu timbul isu apabila Noh dikatakan mengambil Musa tanpa pengetahuan Nina yang ketika itu berada di Jepun atas urusan kerja.

Disebabkan itu Nina terpaksa hadir ke rumah Noh bersama pihak polis untuk mengambil semula anaknya.

Nina mendakwa selama tiga minggu Musa tinggal bersama Noh, anaknya alami trauma serta cirit birit sehingga perlu dibawa berjumpa dengan doktor dan pakar psikologi. – 7 Februari, 2024