KUALA LUMPUR – Banyak corat-coret, momen menarik dan kisah mengejutkan berlaku di Anugerah Grammy 2024 yang berlangsung di Crypto.com Arena di Los Angeles.
Antaranya adalah ucapan penuh kontroversi daripada produser, komposer dan rapper Jay-Z yang juga suami kepada penyanyi dan penghibur Beyonce.
Saat menerima anugerah Global Impact di acara penuh berprestij itu, Jay-Z mempersoalkan mengapa Beyonce tidak pernah memenangi anugerah Album Sepanjang Tahun.
“Paling banyak Grammy tetapi tidak pernah memenangi Album Sepanjang Tahun? Bagaimana ia berfungsi?” soalnya.
Sementara itu, Taylor Swift pula menggunakan platform Grammy secara bijak untuk mengumumkan mengenai album baharunya, ‘The Tortured Poets Department’ yang bakal berada di pasaran pada 19 April ini.
Pengumuman dibuat Taylor itu cukup mengejutkan peminat tegarnya yang tidak menyangka album baharunya akan keluar di pasaran secepat itu.
Namun, Taylor Swift sekali lagi gagal meraih kemenangan untuk kategori Lagu Terbaik Sepanjang Tahun di Grammy 2024.
Sudah tujuh kali Taylor dicalonkan dalam kategori itu, bermula dengan lagu You Belong With Me (2010), Shake If Off (2015), Black Space (2016), Lover (2020), Cardigan (2021), All Too Well (2023) dan Anti-Hero (2024). Namun, dia tidak pernah menang.
Penyanyi Annie Lennox pula mengambil kesempatan di anugerah Grammy untuk menyampai mesej mengenai kemanusiaan dan apa yang sedang berlaku di Gaza.
“Artis untuk gencatan senjata. Damai di dunia,” katanya sewaktu membuat persembahan penghormatan buat Sinead O’Connor.
Biarpun Barbie The Movie mencetuskan beberapa kontroversi di media sosial termasuk isu mengenai feminisme, Billie Eilish selaku penyanyi lagu runut bunyi filem itu, What Was I Made For berjaya memenangi anugerah bagi kategori Lagu Sepanjang Tahun.
Billie adalah punca kekalahan Taylor Swift bagi kategori tersebut dan Billie sudah sembilan kali memenangi Grammy dalam pelbagai kategori.
Sementara itu, Miley Cyrus berkongsi bahawa kesesakan lalu lintas menyebabkan dia lewat tiba ke acara itu tepat pada masanya dan hampir terlepas untuk menerima anugerah bagi kategori Persembahan Pop Solo Terbaik untuk lagu Flowers daripada diva pop R&B, Mariah Carey.
Dia juga memberitahu akan sangat kecewa jika gagal berdiri di sebelah Mariah untuk mengambil anugerah tersebut.
Manakala, Tracy Chapman yang sudah lebih tiga tahun tidak membuat persembahan di hadapan publik membawakan lagu Fast Car di Grammy bersama Luke Combs.
Persembahan mereka yang santai, tidak berlebihan tetapi cukup powerful itu meraih tepuk sorak gemuruh daripada hadirin.
Oprah Winfrey hadir sebagai penyampai anugerah, dengan kamera sempat merakamkan aksinya yang kelihatan gembira dan ceria sewaktu Miley Cyrus menyampaikan lagu Flowers.
Dia turut menari dan menyanyi bersama, seolah-olah lagu itu memberi makna buat dirinya. – 5 Februari 2024