KUALA LUMPUR – Tangisan terharu bercampur gembira mengiringi Sharifah Amani dan suaminya, Ahmed Faris tatkala pelakon wanita berkaliber ini disahkan hamil.
Ini adalah kehamilan pertama Sharifah Amani atau Nani setelah setahun lebih dia mendirikan rumah tangga dengan lelaki pilihannya itu.
Nani juga memilih untuk berkongsi berita itu menerusi sebuah rakaman video pendek mengenai detik-detik dia mengetahui dirinya hamil, selain reaksi keluarganya setelah mendapat tahu perkhabaran tidak diduga itu.
Bukan Nani sahaja yang terharu dan gembira tetapi perasaan sama juga dirasai kedua-dua ibu bapanya.
Video tanpa kaspyen itu mendapat reaksi positif dalam kalangan pengikut-pengikutnya dan dia turut dihujani ucapan tahniah daripada rakan-rakan selebriti.
Antaranya, Sazzy Falak, Pekin Ibrahim, Lisa Surihani, Rashidi Ishak, Yasmin Hani, Amir Jahari, Noh Salleh, Sharifah Shahora dan Sharifah Sofea.
Sharifah Amani Syed Zainal Rashid, 38, dan Ahmed Faris Amir, 34, bernikah pada 10 September 2022 dan mereka menyifatkan percintaan mereka datang tanpa diduga, selepas Nani memikul tugas sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah di organisasi diketuai Ahmed Faris. – 4 Februari, 2024