KUALA LUMPUR – Akhirnya, pelakon yang juga penyanyi, Naim Daniel kembali menghasilkan lagu balada baharu berjudul Urat, namun memilih untuk berduet dengan penghibur legenda, Datuk Jamal Abdillah.
Inilah yang cuba dirahsiakan Naim sewaktu dia ditanya mengenai perancangannya untuk menghasilkan lagu balada baharu sebelum ini.
“Setelah sekian lama Naim tak keluarkan apa-apa lagu balada, kali ini kita kasi jadi,” tulisnya di dalam akaun Instagramnya.
Mengapa Jamal yang jadi pilihan? Barangkali ini adalah strategi Naim untuk menampilkan kolaborasi di antara penyanyi generasi baharu dan lama serta paduan ‘vocal powerhouse’ dua penyanyi lelaki yang jarang sekali kita dengar di negara ini.
Dan, kita dapat mendengar betapa dinamiknya vokal mereka tatkala ia mencapai nada yang tinggi menerusi lagu ciptaan Yeshua Iskandar dan Firdaus Rahmat ini.
Bertindak sebagai produser lagu ini bersama Firdaus Rahmat, Urat mengisahkan tentang bagaimana seseorang itu inginkan dirinya dilihat dan diberi peluang untuk mencintai atau memenangi hati orang.
Biarpun hanya memuat naik lirik video lagu ini di saluran YouTube, World Peace Entertainment kira-kira jam 12 tengah malam tadi, ia telah pun mencecah jumlah tontonan hampir 3,000.
Rata-rata peminat memberikan komen bahawa mereka menyukai gandingan Naim bersama Jamal, namun ada juga yang berpendapat tidak ada salahnya Naim membawakan lagu ini secara solo.
Yang mahukan muzik video penuh dengan visual pun ada, apatah lagi bila Naim berkongsi gambarnya mengenakan baju banduan manakala Jamal menjadi pegawai polis di Instagramnya. Aduh! Memang susah nak puaskan hati semua orang.
Di Instagram Jamal pula, beliau telah berkongsi teaser pendek lagu Urat. Memang nampak menarik bila Naim melakonkan watak sebagai banduan dan berjaya menonjolkan emosinya tatkala berada di penjara. – 2 Februari, 2024