“Daddy Ameena, rumah saya sentiasa terbuka untuk awak”, Shakilla nafi halang Fizi jumpa anak

Menurut Shakilla, Fizi tiada usaha untuk datang ke rumahnya bertemu Ameena ataupun membuat panggilan video untuk berjumpa

Bekas isteri Fizi Ali, Shakilla Khoriri menjelaskan beliau tidak pernah menghalang pertemuan Ameena dengan bapanya, malah rumahnya sentiasa terbuka untuk beliau. - Gambar Instagram, 23 Januari, 2024

KUALA LUMPUR – Konflik antara penyampai radio Hot FM, Fizi Ali dan bekas isterinya, Shakilla Khoriri nampaknya semakin panas.

Terbaru selepas Fizi memfailkan tuntutan hadanah hak penjagaan anak mereka iaitu Ameena Sofea selepas dua bulan tidak dapat bertemu, Shakilla pula membuat kenyataan di Instagram mengatakan dia tidak pernah menghalang Fizi daripada berjumpa anak mereka.

“Cukuplah provokasi dan spekulasi mengenai kisah kami. Cerita kami bukan ‘hidangan’ untuk kalian keruhkan lagi keadaan.

“Tak pernah terlintas di fikiran saya untuk memutuskan hubungan Ameena dengan bapanya.

“Selama ini saya bersusah payah menyatukan kami bertiga sebagai ibu dan ayah kepada Ameena. Berkali-kali jemputan berkaitan Ameena ditolak kerana tidak mahu ada masa bertiga.

“Setiap kali saya yang dulu rendahkan diri demi Ameena. Usaha demi usaha sampailah saya rasa maruah saya dipijak malah dituduh tidak ‘move on’ sebab sering kali mencari,” tulisnya.

Tambah Shakilla lagi, dia sudah penat dengan kenyataan mendakwanya menghalang Ameena daripada bertemu Fizi.

“Beri saya ruang merangka satu perjalanan terbaik untuk anak kesayangan kami. Satu hari nanti bila cukup ajaran saya pada anak saya, saya sendiri berlapang dada untuk beri pilihan pada dia untuk memilih jalan hidup dia sendiri. Sejahat dan sekeji apa pun saya, saya seorang ibu.

“Daddy Ameena, rumah saya sentiasa terbuka untuk awak datang bila-bila masa berjumpa dengan anak awak. Tidak ada istilah menceroboh sebab awak sebahagian dari hidup Ameena. Kami sentiasa tunggu panggilan video dan mesej awak untuk berjumpa.

“Awak tak mencari Ameena. Jadi henti cakap saya larikan anak awak. Hentikan! Tolong berkomunikasi dengan saya secara baik dan tenang. Kita boleh lakukan ini untuk Ameena,” tulisnya.

Semalam, Fizi memberitahu media bahawa dia enggan ke rumah Shakilla secara tiba-tiba kerana boleh dianggap menceroboh kerana mereka sudah tiada ikatan lagi.

Fizi juga mendakwa sudah dua bulan tidak dapat bertemu dengan anaknya.
Malah sewaktu hadir ke sekolah Ameena, dia dihalang untuk bertemu dengan anaknya. – 23 Januari, 2024