KUALA LUMPUR — Pelakon Sharnaaz Ahmad bersimpati terhadap penyampai radio, Fizi Ali yang dilaporkan sudah dua bulan tidak dapat bertemu dengan anaknya yang berusia lima tahun, Ameena Sofea.
Menerusi hantaran yang dimuatnaik Sharnaaz di Insta Story, Sharnaaz telah berkongsi video Fizi yang berada di mahkamah kerana menuntut hak penjagaan ke atas Ameena.
“Hanya yang lalui akan faham. Aku tak pernah jumpa Fizi Ali. But I’ll hug you brother.
“Aku tak nak tahu betul atau salah. Tetapi jangan sesekali pisahkan walau apa pun alasannya,” tulis Sharnaaz dalam hantaran tersebut.
Semalam, kes tuntutan hadanah yang difailkan oleh Fizi pada 15 Disember lalu, akan diteruskan dengan perbicaraan di Mahkamah Syariah.
Ia susulan kedua-dua pihak, iaitu Fizi dan bekas isterinya, Shakilla Khoriri gagal mencapai kata sepakat atau penyelesaian pada prosiding Sulh yang dijalankan berhubung tuntutan terbabit.
Fizi sebelum ini mendakwa tidak dapat berhubung dengan anaknya malah panggilan telefon tidak diangkat dan mesej tidak berbalas.
Fizi dan Shakilla berkahwin pada Januari 2018, namun bercerai pada Disember 2021. – 23 Januari, 2024