Hampir dua bulan tak dapat jumpa Ameena Sofea, air mata Fizi Ali ‘gugur’ kerana menahan rindu

Fizi mengakui inilah tempoh paling lama dia tidak dapat berjumpa dengan Ameena

Fizi Ali mengakui amat merindui Ameena Sofea yang sudah dua bulan tidak diberikan peluang bertemu dengan anaknya itu. - Gambar Instagram Fizi Ali

KUALA LUMPUR – Penyampai radio Hot FM, Fizi Ali tidak dapat menahan air matanya sewaktu membuat pendedahan sudah dua bulan dia tidak dapat bertemu dengan anaknya, Ameena Sofea yang kini berusia lima tahun.

Bahkan Fizi mengakui inilah tempoh paling lama dia tidak dapat berjumpa dengan Ameena sehingga memaksanya untuk membawa perkara itu ke mahkamah serta memfailkan hadanah bagi mendapatkan haknya sebagai seorang bapa.

Penyampai radio Hot FM, Fizi Ali mengakui berusaha mencari Ameena termasuk datang berjumpa di sekolah. – Gambar Instagram Fizi Ali, 22 Januari, 2024

“Saya sangat rindukan Ameena. Hampir dua bulan tak dapat jumpa dia dan inilah tempoh paling lama saya tidak dapat jumpa anak saya.

“Saya tahu lokasi rumah anak saya. Memang saya boleh terus pergi jumpa dia. Tapi kita ada undang-undang. Kalau kita pergi ke sana, nanti akan didakwa sebagai menceroboh.

“Saya rasa itu tidak perlu berlaku. Sebab, perkara itu kita boleh bincang secara aman. Nak pergi sebenarnya tidak ada masalah. Saya memang sayang dengan Ameena. Sangat-sangat. Saya tidak kisah orang nak cakap apa, cakaplah,” katanya memetik wawancaranya bersama sebuah portal.

Fizi yang ditemui di Mahkamah Tinggi Shah Alam berkata, dia memang ada berusaha untuk mencari Ameena termasuk datang berjumpanya di sekolah.

“Saya dah pergi sekolah dia. Tapi, cikgu tak benarkan saya jumpa. Banyak lagi, tapi saya tak boleh keluar semua benda sebab ia akan keluar di mahkamah nanti.

“Yang saya tahu saya cuma nak hak sama rata untuk anak saya. Saya bukan nak rebut anak saya. Yang penting dia kena dapatkan kasih sayang ibu dan bapa dia. Itu yang saya nak sekarang ini,” katanya.

Fizi sebelum ini mendakwa telah dihalang bertemu dengan anaknya, Ameena apabila usahanya menghubungi bekas isterinya, Syakilla Khoriri gagal.

Nombor telefonnya juga turut disekat oleh pelakon serta pengacara wanita tersebut.

Susulan itu, dia terpaksa membawa perkara berkenaan ke mahkamah dan memfailkan hadanah bagi mendapatkan haknya sebagai seorang bapa.

Fizi memfailkan hadanah pada bulan lepas melalui peguamnya. – 22 Januari, 2024