KUALA LUMPUR – Malaysia berada antara negara tertinggi merekodkan pemulangan gelang Xylobands Coldplay, iaitu sebanyak 90 peratus.
Menerusi maklumat instagram @coldplaymalaysia, rekod itu secara tidak langsung menunjukkan peminat di Malaysia menyokong usaha kitar semula daripada pihak kumpulan rock dari Britain, Coldplay terbabit yang mengadakan konsert di negara ini pada 22 November lalu.
“Pemulangan gelang Xylobands #ColdplayKualaLumpur adalah 90 peratus.
“Mengikut info dari @coldplay, peratusan pemulangan gelang Xylobands adalah 90% untuk konsert di Kuala Lumpur tahun lalu. Tahniah peminat Coldplay Malaysia,” menurut maklumat dikongsikan malam tadi.
Xylobands adalah gelang dipakai peminat ketika acara konsert kumpulan itu berlangsung dan lampu yang diprogram di aksesori berkenaan, akan menyala mengikut rentak lagu dipersembahkan.
Pada setiap penganjuran konsert kumpulan itu di beberapa negara, penonton perlu memulangkannya selepas acara terbabit selesai dengan meletakkan ia di dalam bekas disediakan sebelum pintu keluar.
Gelang itu kemudian akan digunakan peminat yang hadir menyaksikan konsert kumpulan itu di lokasi lain.
Difahamkan, peratusan pemulangan Xylobands pada konsert Coldplay di beberapa negara setakat ini, menyaksikan peminat di Tokyo berada di kedudukan tertinggi, iaitu 97 peratus bertindak memulangkannya, diikuti Copenhagen (96 peratus), Buenos Aires (94 peratus), Kaohsiung (93 peratus), Gothenburg (85 peratus), Amsterdam (82 peratus), Berlin (80 peratus) dan Jakarta yang dikatakan 77 peratus.
Ia adalah kali pertama kumpulan itu mengadakan konsert di Malaysia dalam siri jelajah Coldplay: Music of The Spheres Tour yang bermula sejak Mac lalu.
Acara itu menerima sambutan cukup luar biasa daripada peminat setia kumpulan berkenaan di negara ini apabila dihadiri kira-kira 85,000 penonton.
Malaysia juga adalah negara terakhir konsert kumpulan itu pada tahun lalu, sebelum ia diteruskan ke beberapa negara lain bermula bulan ini.
Susulan konsert itu yang berlangsung kira-kira dua jam di Stadium Nasional Bukit Jalil, kawalan keselamatan daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta penganjur diperketatkan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Dalam pada itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menerusi kenyataan sebelum ini memaklumkan, konsert berkenaan turut menggunapakai suis pemati (kill switch) sebagai antara kawalan keselamatan.
Suis itu, katanya, berfungsi untuk menghentikan konsert yang melanggar garis panduan ditetapkan.
Coldplay yang dianggotai Chris Martin, Jonny Buckland, Guy Berryman serta Will Champion mencatat rekod sebagai antara kumpulan yang berjaya menjual tiket terbanyak dan terlaris di dunia. – 20 Januari, 2024